Rabu, 22 Mei 2019 | 12:41pm

Stor penyimpanan rokok, minuman keras seludup diserbu

SIBU: Kegiatan pengedaran minuman keras dan rokok seludup di Selangau lumpuh susulan serbuan sepasukan pegawai dan anggota Batalion 10 Pasukan Gerakan Am (PGA) di dua premis di pekan kecil itu semalam.

Pegawai Pemerintah Batalion 10 PGA, Superintendan Sanudin Mohd Isa, berkata serbuan pada jam 11 pagi itu yang diketuai Asisten Superintendan Chendan Philip Picha Rumpang turut disertai bersama pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Serbuan dilakukan susulan maklumat awam mengenai aktiviti mencurigakan di premis berkenaan. Dalam serbuan di premis pertama, pihak kami menemui 2,367 karton rokok dan 55 kotak minuman keras pelbagai jenis dengan anggaran nilai lebih RM320,000, termasuk cukai.

“Di premis kedua yang diserbu pula, sebanyak 100 kotak minuman keras bernilai lebih RM12,000 termasuk cukai ditemui dengan keseluruhan nilai rampasan, termasuk cukai dianggarkan berjumlah RM337,166.42,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Bagaimanapun, Sanudin berkata, tiada sebarang tangkapan dilakukan dan sehingga kini tiada pemilik yang tampil membuat pengakuan pemilikan barangan itu.

“Semua rampasan akan diserahkan kepada pihak Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Bahagian Sibu untuk tindakan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967.

“Jika sabit kesalahan, pemilik barang itu akan didenda RM100,000.00 atau tidak kurang 10 kali nilai barang yang mana lagi tinggi atau penjara minimum enam bulan dan maksimum tiga tahun atau kedua-dua sekali,” katanya.

Berita Harian X