Jumaat, 24 Mei 2019 | 7:10pm
Rosdi pada sidang media di Kem Batu Kawa, di Kuching, hari ini. - NSTP/L Manimaran

Tong gas memasak, minuman keras dan rokok seludup dirampas

KUCHING: Sebanyak 232 tong gas memasak berkapasiti 14 kilogram (kg) disorok di dalam sebuah lori yang dipercayai untuk diseludup ke negara jiran, dirampas di Tebedu, dekat sini, malam tadi.

Dalam kejadian jam 7.30 malam itu, sepasukan empat anggota Batalion 11 Pasukan Gerakan Am (PGA) diketuai Inspektor S Sugandran membuat pemeriksaan terhadap lori diletakkan di hadapan sebuah gudang itu selepas menerima maklumat awam.

Pegawai Pemerintah Batalion 11 PGA, Superintendan Rosdi Inai, berkata hasil pemeriksaan lanjut ke atas muatan lori itu menemukan 232 tong gas memasak berkapasiti 14kg yang disorok di dalam kenderaan berkenaan.

“Penyeludup meletakkan kotak minuman ringan di bahagian belakang lori itu dan menyorok tong gas di bahagian depan, dipercayai bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

“Mereka juga didapati aktif melakukan kegiatan berkenaan ketika umat Islam berbuka puasa kerana percaya anggota kami tidak keluar meronda pada waktu itu,” katanya pada sidang media di Kem Batu Kawa, di sini, hari ini.

Susulan itu, beliau berkata, dua lelaki berusia 28 dan 48 tahun ditahan selepas gagal mengemukakan dokumen pemilikan tong gas berkenaan.

“Tong gas terbabit dipercayai cuba diseludup ke Indonesia. Kes berkenaan diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna untuk tindakan lanjut mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dengan semua rampasan, termasuk lori, dianggarkan bernilai lebih RM203,000,” katanya.

Sementara itu, dalam satu serbuan berasingan pada jam 2.30 petang semalam, sepasukan lima anggota Batalion 11 PGA diketuai Asisten Superintendan Mohd Mazlan Mohd Ariff, menemui sejumlah minuman keras dan rokok disorok di dalam sebuah premis di Jalan Lubang Angin Lama, Bau.

Dalam serbuan itu, Rosdi berkata, pihaknya menemui 250 karton mengandungi 2,500 kotak rokok dan 510 minuman keras dianggarkan bernilai RM136,000, dipercayai diseludup dari Indonesia untuk pasaran di Kuching.

“Dua lelaki tempatan berusia 65 dan 26 tahun ditahan selepas mereka gagal menunjukkan dokumen pemilikan barangan itu. Kes diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 135 Akta Kastam 1967,” katanya.

Berita Harian X