Sabtu, 25 Mei 2019 | 3:13pm
Suspek lelaki tempatan ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) dalam Ops Gelora Khas disyaki cuba menyeludup keluar 10 tong gas cecair petroleum (LPG) di kawasan perairan Sungai Haji Kuning, Pulau Sebatik di Tawau. - Foto ihsan PPM

Lelaki disyaki cuba seludup 10 tong LPG ditahan

TAWAU: Seorang lelaki tempatan ditahan kerana disyaki cuba menyeludup 10 tong gas petroleum cecair (LPG) ke negara jiran menerusi perairan Sungai Haji Kuning, Pulau Sebatik, malam tadi.

Suspek berumur 27 tahun ditahan sepasukan anggota Pasukan Polis Marin (PPM) dalam Ops Gelora Khas selepas bot laju yang dikendalikannya dikesan berkeadaan mencurigakan di kawasan terbabit, kira-kira jam 9 malam.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali, berkata hasil pemeriksaan menemukan 10 tong gas LPG disembunyikan di dalam bot laju berkenaan.

“Semua bahan bersubsidi itu membabitkan masing-masing lima tong gas LPG jenama PETRONAS dan MYGAZ, disyaki cuba diseludup keluar ke Indonesia.

“Suspek gagal menunjukkan sebarang permit atau dokumen kebenaran daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berkaitan tong gas yang dibawa,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Mohamad Pajeri berkata, barang dirampas termasuk sebuah bot laju bersama satu unit enjin jenis yamaha 40 kuasa kuda dengan jumlah nilai dianggarkan RM18,800.

Beliau berkata, tangkapan dan rampasan kemudian dibawa ke Markas Operasi PPM Tawau untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan dibaca bersama Perkara 3 (1) Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan 1974.

“Kita akan sentiasa meningkatkan rondaan dan operasi di laut bagi mengekang kegiatan penyeludupan barang kawalan, terutama sepanjang musim perayaan ini,” katanya.

Berita Harian X