Ahad, 26 Mei 2019 | 7:59pm
KETUA Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual Wanita dan Kanak-Kanak (D11), Asisten Komisioner Choo Lily. - NSTP/Supian Ahmad

Polis mahu siasat semula kes bekas CEO cabul anak

KUALA LUMPUR: Polis akan menyiasat semula kes bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah syarikat telekomunikasi kerana didakwa mencabul anaknya yang sebelum ini diklasifikasikan sebagai `NFA’ atau `Tiada Tindakan Lanjut’.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual Wanita dan Kanak-Kanak (D11), Asisten Komisioner Choo Lily, berkata penelitian terperinci akan dibuat terhadap kes itu bagi membolehkan gambaran jelas diperoleh mengenai apa sebenarnya berlaku sebelum tindakan lanjut diambil.

Katanya, pihaknya dimaklumkan kes itu tidak boleh diteruskan untuk pendakwaan di mahkamah sebelum ini berikutan kekurangan bukti, namun tidak mempunyai butiran lanjut mengenainya.

“Kes ini ditutup sementara kerana pihak pendakwaraya memaklumkan tiada cukup keterangan menyebabkan ia tidak boleh diteruskan di mahkamah.

“Alasan mengapa dikatakan demikian (kurang keterangan), saya tidak pasti kerana belum mendapat maklumat terperinci mengenai kes itu dan siasatan mengenainya akan dibuat,” katanya yang memetik laporan portal Astro Awani, di sini hari ini.

Choo Lily berkata, beliau tidak boleh mengulas lanjut mengenai kes berkenaan memandangkan ia diklasifikasikan sebagai sulit, selain tidak mempunyai maklumat lanjut.

Katanya, kes itu juga dilaporkan berlaku ketika beliau belum mengambilalih jawatan berkenaan.

Semalam, sebuah akhbar berbahasa Inggeris melaporkan bekas CEO sebuah syarikat telekomunikasi ditahan minggu lalu selepas didakwa mencabul anak gadisnya.

Difahamkan, lelaki itu ditahan selepas bekas isterinya membuat sekurang-kurangnya 15 laporan polis sejak tahun 2015, iaitu selepas pasangan itu berpisah.

Bekas CEO itu ditahan di Balai Polis Hulu Kelang Khamis lalu selepas didakwa menceroboh masuk ke rumah bekas isterinya.

Berita Harian X