Isnin, 27 Mei 2019 | 1:39pm
PASUKAN Gerakan Am (PGA) merampas sebuah lori dengan muatan rokok dan minuman keras disyaki diseludup dianggarkan bernilai RM290,600 di susur Lebuh Raya Pasir Gudang, petang semalam.

PGA rampas lori bawa rokok, arak seludup

KUALA LUMPUR: Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas sebuah lori dengan muatan rokok dan minuman keras disyaki diseludup dianggarkan bernilai RM290,600 di susur Lebuh Raya Pasir Gudang, petang semalam.

Bagaimanapun, pemandu lori terbabit melarikan diri dengan meninggalkan lori dipandunya dan berlari ke seberang jalan berkenaan menghala ke Perling.

Komandan Briged Tengah PGA, Senior Asisten Komisioner Abdul Ghani Mohamad Ji, berkata lori itu dikesan anggota PGA yang melakukan rondaan Ops Nyah 1 di kawasan Ulu Tiram.

“Pada jam 5.45 petang, pasukan terserempak dengan sebuah lori dalam keadaan mencurigakan di Jalan Kota Tinggi, Johor Bahru.

“Anggota PGA kemudian cuba menahan lori berkenaan, namun pemandunya enggan memberhentikan kenderaannya dan kemudian cuba untuk menghimpit kenderaan dinaiki anggota PGA.

“Apabila tiba di jalan susur Lebuh Raya Pasir Gudang menghala ke Pasir Gudang, pemandu lori terbabit berhenti secara mengejut di tepi jalan dan kemudian melarikan diri ke seberang jalan. Anggota PGA cuba mengejar suspek namun gagal,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Abdul Ghani berkata, pemeriksaan di dalam lori kemudian menemui 120 kotak besar rokok berisi 50 karton rokok dan 160 kotak berisi 1,920 botol arak.

Katanya, kesemua barang rampasan kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Seri Alam untuk tindakan lanjut.

Dalam perkembangan berasingan, tujuh lelaki warga Bangladesh ditahan di dalam kawasan sebuah resort di Tanjung Sepat, Kuala Langat, awal pagi semalam.

Abdul Ghani berkata, kesemua mereka ditahan ketika bersembunyi di kawasan semak selepas anggota PGA terserempak dengan sebuah teksi yang mencurigakan sebelum dipandu laju meninggalkan lokasi ketika anggota PGA ingin melakukan pemeriksaan.

“Pada jam 5 pagi, sepasukan anggota melakukan rondaan di kawasan Tanjung Sepat, Tanjung Layang dan kawasan Ladang Bedfort, dan ketika sampai di kawasan Long Beach Resort, mereka terserempak dengan sebuah teksi yang berhenti di tepi jalan.

“Belum sempat anggota memperkenalkan diri, teksi itu dipandu laju meninggalkan lokasi, pemeriksaan kemudian dibuat di kawasan semak berhampiran dan menemui tujuh lelaki warga Bangladesh sedang bersembunyi,” katanya.

Beliau berkata, kesemua suspek gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan yang sah dan masuk ke Malaysia melalui jalan yang tidak diwartakan.

“Kesemua tangkapan yang dipercayai baru sampai dan masuk secara tidak sah ke Malaysia diserahkan kepada pihak IPD Kuala Langat untuk tindakan lanjut,” katanya.

Berita Harian X