Selasa, 28 Mei 2019 | 7:08pm
Peguam Negara, Tommy Thomas. - Arkib NSTP

Keterangan inkues Dr Shahrom tidak terjejas - Peguam Negara

KUALA LUMPUR: Peguam Negara, Tommy Thomas, mengesahkan mengarahkan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin, membatalkan pelantikan peguam Syazlin Mansor dalam inkues kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim.

Tommy berkata beliau mengarahkan Zuraida untuk membatalkan pelantikan Syazlin daripada mewakili kementerian dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) atas empat sebab.

Tommy berkata, Syazlin sepatutnya menolak pelantikannya kerana Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan JBPM sepatutnya hanya mendapat nasihat perundangan daripada Jabatan Peguam Negara, manakala sebarang lantikan peguam luar mestilah daripada Peguam Negara atau Pendakwa Raya.

Selain itu, katanya, tindakan Syazlin mewakili keluarga Muhammad Adib, KPKT dan JBPM sekali gus tidak boleh diterima kerana mencetuskan konflik kepentingan antara tiga pihak yang mungkin memiliki kepentingan bertentangan.

“Saya dimaklumkan Puan Syazlin mengambil peranan aktif dalam inkues, malah kerap mengambil kedudukan bercanggah daripada Timbalan Pendakwa Raya. Ini adalah memalukan beliau dalam kapasitinya sebagai peguam KPKT.

“Keempat, suami Puan Syazlin adalah Setiausaha Akhbar kepada Menteri KPKT, atas sebab berkenaan, saya memohon Menteri KPKT menarik balik pelantikan Puan Syazlin daripada mewakili KPKT dan JPBM,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Semalam, Syazlin memberitahu koroner beliau menarik diri daripada mewakili KPKT, JBPM serta keluarga Muhammad Adib, dalam prosiding inkues kematian anggota bomba itu.

Tindakan itu menimbulkan pelbagai spekulasi berhubung status keterangan Perunding Kanan Patalogi Forensik di United Kingdom, Prof Dr Shahrom Abd Wahid, sebelum ini yang bertentangan dengan keterangan pakar patologi Hospital Kuala Lumpur berhubung cara Muhammad Adib meninggal dunia dalam rusuhan itu.

Tommy berkata inkues kematian Muhammad Adib tidak terjejas walaupun Syazlin menarik diri daripada prosiding.

Katanya, penarikan diri peguam itu juga tidak menjejaskan peranan Dr Shahrom.

Malah, Tommy berkata, Jabatan Peguam Negara bersedia dan akan mengeluarkan sapina terhadap Dr Shahrom bagi membantu Koroner dalam inkues berkenaan.

“Prof Shahrom adalah saksi pakar yang membantu Koroner dalam inkues ini. Peranannya di dalam inkues tidak terjejas dengan penarikan diri Puan Syazlin sebagai peguam.

“Pegawai pengendali, Faten Hadni Khairuddin juga sudah memaklumkan kepada Koroner bahawa Jabatan Peguam Negara bersedia membantu Koroner dengan mengeluarkan sapina kepada Prof Shahrom. Kami akan berbuat demikian,” katanya.

Berita Harian X