Selasa, 28 Mei 2019 | 11:54pm

Penguat kuasa lindungi syarikat lori didakwa

BUTTERWORTH: Sembilan individu, termasuk lapan penguat kuasa Jabatan Pengkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Khas Rasuah di sini, atas 164 pertuduhan kerana menerima rasuah sebanyak RM135,810, antara 2015 hingga 2018.

Dalam prosiding sama, seorang bekas penguat kuasa Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) Wilayah Utara turut dituduh dengan semua mereka dikatakan menerima ganjaran daripada pengarah syarikat pengangkutan bagi melindungi pemandu lori yang melakukan kesalahan di Pulau Pinang.

Semua tertuduh yang berdepan 164 pertuduhan pilihan itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Nizam Zakaria.

Penguat kuasa JPJ Pulau Pinang itu ialah Pemeriksa Kereta Motor Gred AB17, Muhamad Shukri Ishak, 36; Pembantu Penguat kuasa Gred N22, Muhammad Firdaus Jaafar, 46; Pemeriksa Kereta Motor Gred AB19, Khairol Naim Mat Desa, 34, dan Pembantu Penguat kuasa Gred N22, M Muniandy, 45.

Turut didakwa, Pemeriksa Kereta Motor Gred AB22, Noorzaimi Effendi Salleh, 36; Pembantu Penguat kuasa Gred KP17, Mohd Fairdaus Ishak, 35; Pembantu Penguat kuasa Gred KP19, Katimi Azmi, 35; Pembantu Penguat kuasa Gred KP19, Pirdaus Abd Karim, 34, dan bekas Pembantu Penguat kuasa SPAD Wilayah Utara, Mohd Noor Fadzny Noordin, 32.

Pada prosiding hari ini, Muhamad Shukri berdepan 16 pertuduhan utama dan pilihan membabitkan rasuah bernilai RM24,000, manakala Muhamad Firdaus (33 pertuduhan utama dan pilihan membabitkan RM10,950); Khairul Naim (13 pertuduhan utama dan pilihan membabitkan RM24,000) dan Muniandy (15 pertuduhan utama dan pilihan membabitkan RM10,150).

Sementara itu, Norzaimi turut berdepan 18 pertuduhan utama dan pilihan membabitkan nilai rasuah sebanyak RM23,550, manakala Mohd Fairdaus (15 pertuduhan utama dan pilihan membabitkan RM4,210), Katimi (11 pertuduhan utama dan pilihan membabitkan RM16,600), Pirdaus (13 pertuduhan utama dan pilihan membabitkan RM8,600) dan Mohd Noor Fadzny (30 pertuduhan utama dan pilihan membabitkan RM13,650).

Mengikut pertuduhan utama, semua tertuduh didakwa secara rasuah menerima suapan bagi diri mereka wang tunai daripada Pengarah Syarikat Sam Lian Transport & Tyre Sdn Bhd dan TSR Transport Sdn Bhd, Ooi Cheng Keat, 46, sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap lori milik syarikat terbabit (Sam Lian Transport &Tyre Sdn Bhd dan TSR Transport Sdn Bhd) yang mungkin melakukan kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di pelbagai bank di Bukit Mertajam di sini, antara Januari 2015 dan Ogos 2018.

Semua pertuduhan utama itu dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan pilihan, semua tertuduh didakwa memperolehi untuk diri mereka suatu benda berharga tanpa suatu balasan berupa wang tunai daripada Cheng Keat bagi tujuan membabitkan penguatkuasaan di bawah APJ 1987 terhadap lori milik syarikat terbabit.

Untuk pertuduhan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya S Selvaranjini menawarkan jaminan masing-masing RM20,000 bagi semua pertuduhan dihadapi tertuduh berserta seorang penjamin dan syarat tambahan pasport mereka diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Antara anggota penguat kuasa JPJ yang dituduh dengan kes rasuah akan didakwa di Mahkamah Khas Rasuah Butterworth, Pulau Pinang. - NSTP/Mikail Ong
Antara anggota penguat kuasa JPJ yang dituduh dengan kes rasuah akan didakwa di Mahkamah Khas Rasuah Butterworth, Pulau Pinang. - NSTP/Mikail Ong

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X