Rabu, 29 Mei 2019 | 1:02pm
TIMBALAN Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh merasmikan program Waqaf al-Quds anjuran Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) di Masjid Wilayah Persekutuan, hari ini. - Foto Nurul Shafina Jemenon

Hasil siasatan Abibullah dibentang lepas Aidilfitri - Fuziah

KUALA LUMPUR: Hasil siasatan dalaman membabitkan Ketua Pengarah Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM), Datuk Abibullah Samsudin dan beberapa isu berbangkit akan dibentangkan kepada menteri, pertengahan bulan depan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh, berkata beliau dan Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof tidak campur tangan kerana YaPEIM mempunyai Lembaga Pemegang Amanah yang mampu melaksanakan semua tugasan secara profesional.

Beliau berkata, sepanjang siasatan dilakukan, biarlah pihak Lembaga Pemegang Amanah yang uruskan semua kerana tidak mahu wujudnya prejudis ke atas siasatan.

“Saya dan menteri dimaklumkan, pihak Lembaga Pemegang Amanah akan bentangkan hasil siasatan selepas sambutan Aidilfitri di mana apabila pembentangan akan dibuat selepas semuanya sudah kembali bekerja dari bercuti.

“Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah (Datuk Dr Mohd Daud Bakar) akan beri taklimat mengenai siasatan maka sebarang tindakan susulan pula, akan ditentukan oleh mereka,” katanya yang ditemui selepas merasmikan program Waqaf al-Quds anjuran Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) di Masjid Wilayah Persekutuan di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perkembangan siasatan membabitkan Abibullah yang digantung tugas untuk sementara, berkuat kuasa 21 Mei lalu.

Baru-baru ini, BH melaporkan tindakan penggantungan sementara bagi membolehkan siasatan menyeluruh dilakukan ke atas Abibullah berhubung dakwaan salah laku.

Difahamkan, Abibullah digantung tugas kerana didakwa terbabit aktiviti kempen pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Ia susulan, Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil, membuat laporan polis berhubung penularan video seorang lelaki didakwa Abibullah mempengaruhi kakitangan YaPEIM pada PRU lalu.

Terdahulu, mengulas mengenai Waqaf al-Quds anjuran JAWI, Fuziah berkata, pihaknya bekerjasama dengan badan bukan kerajaan Turki, Ummet Vakfi mengutip sumbangan bagi membolehkan projek mewakafkan kawasan seluas 1. 3 hektar sekitar Kota al-Quds dan Masjid al-Aqsa.

“Bagi menjayakan projek ini, kita mewujudkan tabung waqaf yang akan diletakkan di masjid terpilih dengan mensasarkan kutipan kira-kira RM6,300 bagi setiap satu meter persegi,” katanya yang tidak meletakkan tempoh masa kutipan.

Berita Harian X