Rabu, 29 Mei 2019 | 3:48pm
Kereta yang remuk selepas bertembung dengan motosikal yang ditunggang Hasiah di Kampung Kenor Jalan Kuala Krai-Batu Balai. - Ihsan PDRM
Keadaan motosikal Hasiah selepeas bertembung dengan Perodua Viva di Kampung Kenor Jalan Kuala Krai-Batu Balai. - Ihsan PDRM

Guru KAFA maut kemalangan

KOTA BHARU: Seorang guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) maut manakala anaknya parah dalam kemalangan di Kampung Kenor Jalan Kuala Krai-Batu Balai, dekat Kuala Krai, awal pagi tadi.

Dalam kejadian jam 7.30 pagi, Hasiah Abdullah, 43, yang berasal dari Kampung Batu Balai, Kuala Krai, maut di tempat kejadian selepas motosikal yang ditunggangnya bertembung dengan sebuah kereta Perodua Viva.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Deputi Superintendan Wan Fauzi Wan Ishak, berkata Perodua Viva dipandu remaja lelaki berusia 23 tahun dari arah Guchil menghala ke Kampung Batu Balai, bertembung dengan motosikal jenis Yamaha LC ditunggang mangsa bersama anaknya, Ana Asyida Anuar, 15.

“Hasil siasatan awal mendapati motosikal yang ditunggang mangsa dipercayai memotong sebuah kenderaan di hadapannya dan masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan kereta yang dipandu remaja berkenaan.

“Akibat pelanggaran itu, Ana Asyida parah di beberapa bahagian anggota badan manakala pemandu Perodua Viva hanya mengalami cedera ringan,” katanya.

Beliau berkata, mangsa yang maut dibawa ke Hospital Kuala Krai untuk bedah siasat, manakala dua lagi mangsa dihantar ke hospital sama untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara cuai menyebabkan kematian,” katanya.

Berita Harian X