Rabu, 29 Mei 2019 | 6:50pm

Lelaki dipenjara khalwat dengan kakak angkat berstatus isteri orang

MARANG: Seorang lelaki dihukum penjara enam bulan dan denda RM2,700 oleh Mahkamah Rendah Syariah di sini, hari ini, atas kesalahan berkhalwat dengan kakak angkatnya yang berstatus isteri orang.

Hakim Syarie Nik Mohd Shahril Irwan Mat Yusof turut menetapkan hukuman penjara tambahan enam bulan sekiranya tertuduh yang sedang menjalani hukuman penjara kerana penyalahgunaan dadah, gagal menjelaskan denda itu.

Tertuduh terpaksa meringkuk di penjara selama setahun kerana gagal membayar denda berkenaan.

Nik Mohd Shahril Irwan menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh berusia 30 tahun mengaku bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 31(a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 kerana berkhalwat.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang masih bujang ditahan bersama pasangannya dalam serbuan di sebuah motel, di sini, oleh sepasukan pegawai dan anggota penguat kuasa agama daerah pada jam 3.25 pagi 6 Julai 2018.

Mengikut fakta kes, sebaik tiba di hadapan bilik motel itu, pintu utama didapati tertutup rapat sebelum penguat kuasa mengetuk pintu dan memberi salam.

Sebaik sahaja pintu dibuka dari dalam oleh seorang lelaki, anggota memperkenalkan diri dan membuat pemeriksaan sebelum menemui seorang wanita memakai baju-T dan bertuala di dalam bilik itu.

Soal siasat kemudian mendapati mereka bukan pasangan suami isteri yang sah.

Tertuduh menarik perhatian mahkamah apabila memberi alasan kononnya ke motel terbabit untuk menjaga pasangannya yang berpantang, sedangkan wanita itu sedang hamil ketika mereka ditangkap.

Pada 14 April lalu, pasangannya iaitu wanita berusia 32 tahun yang mendakwa digantung tidak bertali, dihukum penjara enam bulan dan denda RM2,500 atau enam bulan penjara jika gagal menjelaskan denda, oleh mahkamah sama.

Berita Harian X