Jumaat, 31 Mei 2019 | 12:32am
KETUA Komunikasi Korporat PDRM, Urusetia Ketua Polis Negara (KPN), Datuk Asmawati Ahmad. - NSTP/Saddam Yusoff

15 kematian pada hari pertama Op Selamat 15

KUALA LUMPUR: Sebanyak 13 kemalangan maut membabitkan 15 kematian dicatatkan pada hari pertama Op Selamat 15 sempena Aidilfitri, kelmarin.

Ketua Komunikasi Korporat PDRM, Urusetia Ketua Polis Negara (KPN), Datuk Asmawati Ahmad, berkata jumlah kematian tertinggi membabitkan penunggang dan pembonceng motosikal iaitu dengan lima kematian.

Beliau berkata, kematian lain membabitkan tiga pemandu dan penumpang kereta, pemandu dan kelindan lori (tiga), penunggang basikal (dua) dan seorang pejalan kaki.

Katanya, menerusi statistik dikeluarkan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, semalam, keseluruhan sebanyak 1,760 kemalangan dicatatkan di seluruh negara, kelmarin.

“Selangor mencatatkan jumlah kemalangan tertinggi dengan 532 kemalangan diikuti Johor (270), Kuala Lumpur (258) dan Pulang Pinang dengan 148 kemalangan,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Katanya, Selangor dan Sarawak masing-masing mencatatkan empat kematian akibat kemalangan maut, manakala Pahang dan Kelantan (dua) serta satu kematian di Kedah, Perak dan Sabah.

Dalam pada itu, Asmawati berkata, pada hari pertama Op Selamat 15 juga sebanyak 22,058 saman dikeluarkan atas pelbagai jenis kesalahan jalan raya menerusi 309 operasi yang dijalankan di seluruh negara.

Beliau berkata, saman tertinggi dikeluarkan oleh pasukan peronda lebuh raya (EMPV) Bukit Aman dengan 5,763 saman, diikuti oleh Polis Kontinjen Selangor dengan 3,311 saman seterusnya Pasukan Kontinjen Perak dengan 2,149 saman.

Katanya, selain kemalangan, sebanyak 44 kes pecah rumah dan premis dicatatkan di seluruh negara pada hari pertama Ops Selamat 15.

Berita Harian X