Jumaat, 31 Mei 2019 | 12:26pm
ANGGOTA polis mengangkat mayat mangsa lemas untuk dibawa ke hospital Sibu dari jeti feri Simpang Tiga Sibu. - Foto Harun Yahya

Tiga bersaudara lemas menjelang perayaan

SIBU: Kemeriahan Hari Gawai yang disambut esok dan Aidilfitri dijangka diraikan Rabu ini bertukar pilu buat sekeluarga di Rumah Panjang Augustine Meringgai Jana, di Nanga Tutus, di sini, apabila mayat dua sepupu ditemui terapung di Sungai Igan, di sini, pagi tadi.

Mayat Nurul Syahiera Salam, 13, ditemui pada jam 7.05 pagi manakala mayat Trance Janggok Tommy, 14, pada jam 7.20 pagi.

Penemuan mayat terbaru itu menjadikan tiga mangsa lemas ditemui selepas mereka dilaporkan hilang ketika mandi di jeti kediaman mereka di sungai itu, Rabu lalu.

Pada jam 2.30 petang semalam, pasukan mencari dan menyelamat (SAR) menemui mangsa pertama yang juga adik Trance, Trisha, 12.

Pemangku Ketua Zon Empat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Wan Kamarudin Wan Ahmad, berkata mayat dua sepupu itu ditemui kira-kira lima kilometer dari lokasi kejadian iaitu di kawasan Rassau, berdekatan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Batang Igan.

“Mayat mangsa pertama, Trisha yang ditemui semalam pula ditemui berdekatan dengan pos kawalan bomba berhampiran tempat kejadian.

“Semua mayat mangsa sudah diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Dalam kejadian jam 4 petang Rabu lalu, dua beradik berkenaan bersama sepupu mereka yang berada di jeti berkenaan bersama dua ahli keluarga yang lain termasuk nenek, dilihat terjun ke sungai namun terus hilang dibawa arus deras.

Gerakan SAR dilancarkan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Merah dengan bantuan penduduk kampung sebaik sahaja laporan kejadian itu diterima pada jam 4.10 petang.

Berita Harian X