Jumaat, 31 Mei 2019 | 8:59pm
NOOR Azam (tengah) bersama Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Borhan Aman Shah (dua kiri) bermesra dengan penunggang motosikal pada Majlis Pelancaran Kempen Keselamatan Jalan Raya dan Ops Selamat Ke-15 sempena Hari Raya Aidilfitri di Plaza Tol KLIA. NSTP/Luqman Hakim Zubir

Op Selamat: 1,096 kemalangan dilaporkan di Selangor dalam 2 hari

* Gambar Luqman Hakim Zubir

SEPANG: Sebanyak 1,096 kemalangan jalan raya dilaporkan dalam tempoh dua hari Op Selamat ke-15, dengan kebanyakan kes membabitkan penunggang motosikal.

Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin, berkata daripada jumlah itu, tujuh adalah kes kemalangan maut membabitkan tujuh kematian.

“Selain itu, sebanyak 7,262 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik, termasuk menggunakan telefon bimbit ketika memandu serta melanggar lampu merah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Kempen Keselamatan Jalan Raya dan Op Selamat Ke-15 sempena Aidilfitri peringkat Selangor di Plaza Tol Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Noor Azam berkata, pihaknya mengenal pasti 40 lokasi kerap berlaku kemalangan di seluruh negeri ini.

NOOR Azam menyampaikan sumbangan kepada pemandu kenderaan pada Majlis Pelancaran Kempen Keselamatan Jalan Raya dan Ops Selamat Ke-15 sempena Hari Raya Aidilfitri di Plaza Tol KLIA. NSTP/Luqman Hakim Zubir

“Daripada jumlah kawasan terbabit, enam lokasi akan diberi lebih tumpuan, iaitu di Kilometer (KM) 45 Jalan Klang-Teluk Intan, Sabak Bernam; Jalan Klang-Teluk Intan, Kuala Selangor; Persiaran Jubli Perak, Shah Alam; Jalan Meru, Klang Utara; Jalan Klang-Banting, Kuala Langat; dan KM40 hingga KM79 Jalan Sungai Choh-Bukit Beruntung, Hulu Selangor.

“Kawasan terbabit ialah antara yang sering berlaku kemalangan dan kita akan menempatkan lebih anggota di lokasi berkenaan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, seramai 1,049 polis trafik Selangor membabitkan 104 pegawai dan 945 anggota akan ditugaskan sepanjang tempoh Op Selamat ke-15 di negeri ini bermula kelmarin hingga 12 Jun depan.

Berita Harian X