Sabtu, 1 Jun 2019 | 10:31pm
AHLI perniagaan kontroversi, Low Taek Jho atau Jho Low.

Jho Low belum ditahan - KPN

KUALA LUMPUR: Laporan mendakwa ahli perniagaan kontroversi, Low Taek Jho atau Jho Low, sudah ditahan pihak berkuasa China untuk diserahkan kepada Malaysia, disahkan sebagai tidak benar oleh Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador, malam ini.

Abdul Hamid mengakui, ketika ini Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih berusaha untuk membawa pulang Jho Low yang dikaitkan dengan skandal syarikat pelaburan strategik, 1Malaysia Development Berhad (1MDB), bagi membantu siasatan pihak berkuasa negara ini.

"Kami sedang berusaha ke arah itu tapi tiada apa yang dimuktamadkan lagi. Mesej itu tidak betul," kata Hamid kepada media menerusi kiriman WhatsApp.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mesej viral sejak lewat malam tadi, yang mendakwa Jho Low sudah ditangkap kerajaan China.

Ahli perniagaan itu dikatakan akan dihantar pulang ke Malaysia dengan menggunakan pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM). Dakwaan terbabit disebar menerusi ciapan di Twitter.

Kelmarin, Abdul Hamid berkata, Jho Low, 36, dijangka dapat ditahan pihak berkuasa dalam tempoh terdekat.

Tanpa mendedahkan butiran lanjut, beliau berkata, PDRM yakin dapat membawa Jho Low pulang ke negara ini untuk dihadapkan ke muka keadilan.

“Insya-Allah bila saya kata saya yakin kami boleh bawa dia (Jho Low) balik dalam masa terdekat, maka dalam masa terdekatlah,” katanya.

Sehari sebelumnya, Abdul Hamid dilaporkan berkata, polis mempunyai petunjuk positif mengenai keberadaan Jho Low yang dikehendaki bagi membantu siasatan kes membabitkan skandal 1MDB.

Kronologi Pergerakan Jho Low

Disember 2017

- Jho Low dikesan berada di sekitar kawasan perairan Thailand dengan kapal mewah, The Equanimity.

28 Februari 2018

- Kapal mewah milik Jho Low dirampas di perairan Bali, Indonesia oleh pihak berkuasa Amerika Syarikat.

17 April 2018

- Mahkamah Indonesia memerintahkan menyita kapal Jho Low tidak sah.

4 Julai 2018

- Polis Hong Kong memaklumkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bahawa Jho Low berada di sebuah pangsapuri mewah di Hong Kong.

5 Julai 2018

- Jho Low dipercayai melarikan diri dari Hong Kong ke Macau dengan menaiki feri.

8 Julai 2018

- Jho Low dipercayai keluar dari Macau dan melarikan diri ke lokasi strategik di China, sama ada menaiki kereta atau pesawat peribadi.

12 Julai 2018

- Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali percaya Jho Low menggunakan pasport negara Saint Kits and Nevis yang terletak di kepulauan Caribbean untuk bergerak dari satu negara ke negara lain.

24 Ogos 2018

- The Edge melaporkan, pihak polis memfailkan lapan pertuduhan pengubahan wang haram terhadap Jho Low dan bapanya, Tan Sri Low Hock Peng yang dikaitkan dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

4 Disember 2018

- Jho Low bersama empat lagi didakwa di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur dipercayai berhubung skandal 1MDB. Beliau tidak didakwa tanpa kehadirannya (absentia).

23 Mac 2019

- Polis Bukit Aman menyita kediaman Jho Low di Tanjung Bunga, Pulau Pinang yang dipercayai sebahagian daripada siasatan penyelewengan wang 1MDB.

22 Mei 2019

- Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata PDRM mempunyai petunjuk baharu berhubung lokasi Jho Low yang dikatakan bersembunyi di China dan akan cuba membawanya pulang.

Berita Harian X