Ahad, 2 Jun 2019 | 10:43am
Keadaan motosikal mangsa yang terbabit dalam kemalangan maut di Jalan Merbau Pulas - Padang Serai. - Foto ihsan Pembaca

Wanita maut motosikal rempuh pintu kereta, digilis van

KULIM: Seorang wanita maut apabila motosikal ditunggang merempuh pintu sebuah kereta yang dikatakan dibuka secara tiba-tiba ketika berhenti di Jalan Merbau Pulas-Padang Serai, di sini, semalam.

Kejadian kira-kira jam 6.20 petang itu menyebabkan Noraini Ahmad, 60, dari Kampung Sungai Karangan, terjatuh ke tengah jalan raya sebelum digilis sebuah van dari arah belakang.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Mohd Yusof Shaari, berkata mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.

“Kemalangan dipercayai berpunca daripada pemandu kereta yang berhenti di bahu jalan dan dengan cuai membuka pintu di bahagian pemandu menyebabkan mangsa yang datang dari arah belakang melanggarnya.


Pengguna jalan raya melihat jenazah mangsa yang terbabit dalam kemalangan maut di Jalan Merbau Pulas - Padang Serai. - Foto ihsan Pembaca

“Akibat perlanggaran itu, mangsa terjatuh di atas jalan sebelum dilanggar van yang datang dari arah sama,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, mayat mangsa kemudian dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Kulim, untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita Harian X