Ahad, 2 Jun 2019 | 2:23pm

Op Selamat: Angka korban terus meningkat

KUALA LUMPUR: Angka korban akibat kemalangan jalan raya terus mencatatkan peningkatan kepada 69 orang dalam tempoh empat hari Op Selamat ke-15 bermula 29 Mei lalu sehingga kelmarin.

Ketua Komunikasi Korporat Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Asmawati Ahmad, berkata sebanyak 7,012 kemalangan direkodkan sepanjang tempoh terbabit membabitkan 10,042 kenderaan.

Katanya, Selangor mencatatkan jumlah paling banyak kematian iaitu 11 orang, diikuti Johor dan Sarawak masing-masing sembilan kematian; Kelantan dan Perak masing-masing lapan; Kedah dan Pahang masing-masing lima kematian dan empat kematian di Perlis.

Tiga kematian pula direkodkan di Sabah; Negeri Sembilan dan Melaka (masing-masing dua), manakala Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Terengganu masing-masing satu kematian.

“Dalam tempoh itu juga, sejumlah 96,127 saman dikeluarkan Jabatan Siasatan dan Pengkuatkuasaan Trafik (JSPT) ke atas pengguna kerana pelbagai kesalahan jalan raya menerusi 1,238 operasi dijalankan.

“Selain kemalangan, sebanyak 158 kes pecah rumah dan premis dilaporkan berlaku dalam tempoh empat hari operasi dengan pecah kediaman paling banyak iaitu 96 kes,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata, polis memberi tumpuan kepada enam kesalahan utama dalam Op Selamat 15/2019 bermula 29 Mei lalu hingga 12 Jun depan.

Enam kesalahan itu adalah memandu di lorong kecemasan, memotong di garisan berkembar, menggunakan telefon bimbit, memotong barisan, memandu laju dan tidak mematuhi lampu isyarat.

Berita Harian X