Isnin, 3 Jun 2019 | 1:26pm
Ketua Unit Komunikasi Korporat Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Datuk Asmawati Ahmad. - Foto Saddam Yusoff

21 lagi kematian pada hari kelima Op Selamat ke-15

KUALA LUMPUR: Sebanyak 21 lagi kematian direkodkan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) di seluruh negara pada hari kelima hari Op Selamat ke-15, semalam menjadikan angka korban keseluruhan setakat ini adalah seramai 90 orang.

Selangor terus mencatatkan jumlah korban paling ramai iaitu 13 kematian diikuti Johor (11); Sarawak dan Perak (masing-masing 10); Kedah (9); Kelantan (8) dan Pahang (7).

Perlis, Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Sabah pula masing-masing empat kematian; Terengganu (3), Melaka (2) dan Kuala Lumpur kekal dengan satu kematian.

Ketua Komunikasi Korporat Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Asmawati Ahmad, berkata sebanyak 8,454 kemalangan dilaporkan dengan 84 adalah kemalangan maut.

“Dalam pada itu, sejumlah 121,590 saman dikeluarkan dalam tempoh sama dengan jumlah tertinggi dikeluarkan Kontinjen Bukit Aman iaitu 30,099 saman.

“Negeri paling tinggi pula adalah Selangor (17,442), selain Johor (96,09) dan Perak (9,172 saman),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, kes pecah rumah dan premis juga meningkat kepada 208 kes di seluruh negara dengan kediaman paling banyak iaitu 131 kes.

Sebelum ini, Ketua Polis Negara Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata, polis memberi tumpuan kepada enam kesalahan utama dalam Op Selamat 15/2019 bermula 29 Mei lalu sehingga 12 Jun depan.

Enam kesalahan itu adalah memandu di lorong kecemasan, memotong di garisan berkembar, menggunakan telefon bimbit, memotong barisan, memandu laju dan tidak mematuhi lampu isyarat.

Berita Harian X