Isnin, 3 Jun 2019 | 3:29pm
Teoh Kim Kuan (kiri) dan Ng Wai Chew.

2 syarikat didakwa abaikan keselamatan, kebajikan pekerja

IPOH: Dua syarikat didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas pertuduhan gagal memastikan keselamatan pekerja hingga berlaku kemalangan yang menyebabkan kematian dan kecacatan pekerja mereka dalam kejadian di Manjung dan Lahat, di sini tahun lalu.

Kedua-dua syarikat berkenaan didakwa secara berasingan oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Perak mengikut Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 serta Akta Kilang dan Jentera 1967.

Pertuduhan pertama membabitkan Tunas Gemilang TKK Enterprise yang diwakili pengarahnya, Teoh Kim Kuan, 46, didakwa melakukan kesalahan gagal memastikan setiap lubang pit pada tingkat bekerja ditutup rapat atau dipagar kukuh untuk menghalang kejadian orang jatuh.

Kegagalan syarikat berkenaan sebagai majikan mengakibatkan seorang pekerja warga Bangladesh bernama Sajib Ahmmud Dulal terjatuh dan maut ketika bekerja di tapak projek pangsapuri 35 tingkat di Sitiawan, pada jam 3.30 petang 24 Disember tahun lalu.

Kim Kuan didakwa mengikut Seksyen 10 (e) Akta Kilang dan Jentera 1967 dan mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu yang memperuntukkan hukuman mengikut Seksyen 51 (2) akta sama iaitu denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya.

Pertuduhan kedua pula membabitkan WIM Automation Jig & Moulding Sdn Bhd diwakili pengarahnya, Ng Wai Chew, 51, yang didakwa gagal memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan ketika bekerja hingga menyebabkan kemalangan terhadap seorang pekerjanya.

Kegagalan itu mengakibatkan pekerja warga Myanmar, Chan Myae Aung cedera terputus jari dalam kejadian di kilang syarikat berkenaan di Kawasan Perindustrian RIMA, Lahat pada 10.15 pagi, 28 Ogos tahun lalu.

Wai Chew, mengaku bersalah sebaik pertuduhan mengikut Seksyen 15 (1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 dan berdepan hukuman mengikut Seksyen 19 akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya.

Kedua-dua pertuduhan kes berkenaan dijalankan Pegawai Pendakwa JKKP, Hanisah Ahmad dihadapan Hakim S Indera Nehru manakala kedua-dua wakil syarikat terbabit tidak diwakili peguam.

Indera Nehru kemudian menetapkan 18 Jun ini bagi keputusan hukuman terhadap kedua-dua wakil syarikat yang mengaku bersalah terhadap pertuduhan dihadapi.

Berita Harian X