Isnin, 3 Jun 2019 | 5:34pm
Mazlan menyerahkan cenderahati berisi barangan kesihatan kepada pengguna jalan raya yang akan pulang ke kampung halaman sempena Kempen Perjalanan Selamat Aidilfitri Peringkat IPK Kuala Lumpur di Plaza Tol Duta, Kuala Lumpur. - NSTP/Intan Nur Elliana Zakaria

Maklum polis jika mahu balik kampung

KUALA LUMPUR: Warga kota yang berhasrat meraikan Aidilfitri di kampung halaman masing-masing dinasihatkan agar mengisi borang balik kampung bagi memudahkan polis melakukan rondaan di sekitar kediaman dan premis perniagaan mereka.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim, berkata sepanjang lima hari Op Selamat ke-15 dilancarkan sehingga semalam, 553 borang maklumat balik kampung diserahkan kepada polis oleh pemilik kediaman, manakala 284 lagi dihantar menerusi aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP).

“Setakat lima hari Op Selamat yang bermula 29 Mei lalu sehingga semalam, tiada lagi laporan kes pecah rumah diterima membabitkan kediaman pemilik yang menghantar borang maklumat balik kampung di Kuala Lumpur.

“Justeru, saya berharap mereka yang mahu meninggalkan rumah supaya mengisi borang supaya mudah untuk kita buat pemantauan,” katanya pada sidang media Kempen Perjalanan Selamat Aidilfitri Peringkat Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di Plaza Tol Duta, di sini hari ini.

Mazlan ketika mengulas lanjut, berkata sebanyak 2,294 rondaan dibuat setakat ini di sekitar ibu negara dalam tempoh sama.

Sementara itu, katanya, memandu melebihi had laju mendominasi enam kesalahan utama sepanjang lima hari operasi dijalankan, dengan keseluruhannya 2,562 saman dikeluarkan.

Beliau berkata, kesalahan lain adalah tidak mematuhi lampu isyarat (196 saman); menggunakan alat komunikasi (115); memotong garisan berkembar (46); memandu di lorong kecemasan (41) dan memotong barisan (2 saman).

Berita Harian X