Selasa, 4 Jun 2019 | 12:51pm
Ketua Unit Komunikasi Korporat Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Datuk Asmawati Ahmad. - Foto Saddam Yusoff

16 lagi maut hari keenam Op Selamat ke-15

KUALA LUMPUR: Op Selamat ke-15 semalam merekodkan 16 lagi kematian, menjadikan keseluruhan 106 kematian dalam tempoh enam hari pelaksanaan op itu bermula sejak 29 Mei lalu.

Ketua Komunikasi Korporat Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Asmawati Ahmad, berkata jumlah kemalangan juga meningkat kepada 10,321 dalam tempoh sama dengan 100 kes adalah membabitkan kemalangan maut.

Katanya, Selangor terus mendahului jumlah kematian paling ramai iaitu 17 orang diikuti Johor (14), Kedah (11), Sarawak dan Perak (masing-masing 10), Kelantan (8) dan Pahang serta Sabah (masing-masing 7).

“Kelantan mencatatkan enam kematian diikuti Pulau Pinang dan Negeri Sembilan (masing-masing 5), Terengganu (4), Melaka (2) dan Kuala Lumpur pula seorang.

“Sepanjang enam hari ini juga sebanyak 146,408 saman dikeluarkan membabitkan 1,898 operasi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Bagi kes pecah rumah dan premis pula, sebanyak 252 kes dilaporkan di seluruh negara dengan 155 kes membabitkan pecah kediaman.

Sebelum ini, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata, polis memberi tumpuan kepada enam kesalahan utama dalam Op Selamat 15/2019 bermula 29 Mei lalu sehingga 12 Jun depan.

Enam kesalahan itu adalah memandu di lorong kecemasan, memotong di garisan berkembar, menggunakan telefon bimbit, memotong barisan, memandu laju dan tidak mematuhi lampu isyarat.

Berita Harian X