Rabu, 5 Jun 2019 | 12:22pm
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden A Asmadi Abd Aziz (empat dari kiri) mengagihkan bubur lambuk kepada pengguna lebuh raya pada program Op Selamat 15 dan Bandar Selamat sempena Hari Raya Peringkat Daerah Alor Gajah, di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Ayer Keroh arah selatan, semalam. - Foto Rasul Azli Samad

Op Selamat 15 hari ke-7: 14 lagi kematian dicatat

KUALA LUMPUR: Sebanyak 14 kematian akibat kemalangan jalan raya dicatatkan pada hari ketujuh Op Selamat 15 sempena Aidilfitri semalam, menjadikan keseluruhan 120 kematian sejak dilancarkan 29 Mei lalu.

Ketua Komunikasi Korporat Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Asmawati Ahmad, berkata daripada keseluruhan 11,927 kemalangan di seluruh negara, 114 daripadanya membabitkan kemalangan maut.

“Selangor masih mencatatkan kemalangan tertinggi dengan 3,429 kemalangan diikuti Johor (1,828), Kuala Lumpur (1,535) dan Pulau Pinang (1,034),” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, katanya, sebanyak 2,162 operasi dijalankan di seluruh negara dengan 170,965 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.

“Saman tertinggi dikeluarkan Kontinjen Peronda Lebuh Raya Bukit Aman dengan 39,406 saman diikuti Kontinjen Selangor (24,631), Kontinjen Johor (14,687), Kontinjen Perak (12,547) dan Kontinjen Kuala Lumpur (11,707).

“Bagi kes pecah rumah dan premis pula, sebanyak 293 kes dilaporkan di seluruh negara dengan 179 kes membabitkan pecah kediaman, 60 kes pecah kedai dan 30 kes pecah pejabat,” katanya.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasa Trafik, Datuk Azisman Alias sebelum ini memaklumkan saman kerana memandu melebihi had laju ialah jumlah paling banyak daripada keseluruhan saman yang dikeluarkan menerusi Op Selamat 15 setakat ini.

Berita Harian X