Rabu, 5 Jun 2019 | 5:52pm
Tiga ekor gajah ditemui mati akibat diracun di Kampung Sri Timur 3, dekat Kluang. - Foto BERNAMA
Tiga ekor gajah ditemui mati akibat diracun di Kampung Sri Timur 3, dekat Kluang. - Foto BERNAMA

3 gajah betina disahkan mati termakan racun - Dr Xavier

JOHOR BAHRU: Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli mengesahkan tiga bangkai gajah betina yang ditemui di Jalan Kampung Sri Timur, Kluang semalam mati akibat termakan racun.

Menterinya, Dr Xavier Jayakumar, berkata bagaimanapun jenis racun yang dimakan masih belum diketahui kerana sampel hati dan ginjal ketiga-tiga gajah perlu dihantar ke Jabatan Kimia untuk analisis toksikologi, yang keputusannya dijangka diperoleh dalam tempoh tiga bulan.

“Siasatan di sekeliling kawasan mendapati sistem pagar elektrik persendirian yang dikendalikan sendiri penduduk kampung di kawasan berkenaan tidak berfungsi, menyebabkan gajah menceroboh ke kawasan berkenaan.

“Berdasarkan kepada saiz tapak kaki, gajah yang mati dianggarkan berumur kira-kira 18, 20 dan 22 tahun serta dipercayai gajah daripada pecahan kumpulan gajah (ID Tenggara) dari Hutan Simpan Lenggor.

“Menurut rekod Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN), kumpulan pecahan gajah ID Tenggara terdiri daripada lima gajah yang berkeliaran di kawasan Hutan Simpan Lenggor,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Xavier berkata, mengikut Data Populasi Gajah PERHILITAN juga, terdapat lima kumpulan besar utama gajah di Johor iaitu ID Jemaluang (20 hingga 30 ekor), ID Panti (30 hingga 40 ekor), ID Labis (5 hingga 15 ekor), ID Tenggara (25 hingga 30 ekor) dan ID Taman Negeri (kurang daripada 45 ekor).

“Berikutan kematian tiga gajah berkenaan, PERHILITAN sedang mengesan baki dua lagi gajah yang dipercayai masih berkeliaran di kawasan terbabit bagi menjalankan usaha menyelamat.

“Kes kematian gajah termakan racun bukan kali pertama terjadi di Johor kerana kes yang sama pernah berlaku pada 2018, membabitkan kematian seekor gajah jantan,” tambahnya.

Kata Dr Xavier, kementeriannya menerusi PERHILITAN amat serius dalam melaksanakan usaha pemuliharaan hidupan liar terutama gajah.

“Antaranya mengadakan kerjasama dengan Malaysian Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) untuk mensyaratkan pemasangan pagar elektrik di kawasan ladang kelapa sawit berhampiran sempadan hutan simpan bagi mengelakkan kawasan berkenaan atau perkampungan diganggu gajah liar.

“Pihak kementerian menggesa semua pihak menyalurkan maklumat kepada PERHILITAN dengan menghubungi talian 1-800-88-5151 jika mempunyai sebarang maklumat mengenai kes kematian tiga ekor gajah berkenaan,” katanya.

Dr Xavier juga meminta orang ramai jangan membuat sebarang spekulasi mengenai kes kematian gajah berkenaan sehingga proses siasatan selesai.

Semalam, tiga gajah dilaporkan ditemui mati di Kampung Sri Timur 3, di sini dipercayai diracun pihak tidak bertanggungjawab. Gajah berkenaan ditemui orang awam yang melalui kawasan terbabit kira-kira jam 9 pagi.

Berita Harian X