Khamis, 6 Jun 2019 | 12:32pm
Ketua Unit Komunikasi Korporat Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Datuk Asmawati Ahmad. - Foto Saddam Yusoff
Ketua Unit Komunikasi Korporat Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Datuk Asmawati Ahmad. - Foto Saddam Yusoff

Op Selamat ke-15: 140 kematian dalam tempoh 8 hari

Oleh Nor Azizah Mokhtar

[email protected]

KUALA LUMPUR: Op Selamat ke-15 sempena Aidilfitri merekodkan 20 lagi kematian, semalam, menjadikan keseluruhan 140 kematian dalam tempoh lapan hari sejak operasi itu bermula 29 Mei lalu.

Ketua Komunikasi Korporat Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Asmawati Ahmad, berkata jumlah kemalangan turut meningkat kepada 13,316 dalam tempoh sama dengan 133 kes membabitkan kemalangan maut.

Beliau berkata, Selangor terus mendahului jumlah kematian paling ramai membabitkan 22 orang, diikuti Johor (19), Kedah (15), Perak (14), Sarawak (12), Pahang, Kelantan dan Sabah (masing-masing 10) serta Negeri Sembilan (lapan).

“Selangor masih mencatat jumlah kes kemalangan tertinggi dengan 3,755 kemalangan, diikuti Johor (2,032), Kuala Lumpur (1,725), Pulau Pinang (1,112) dan Perak (1,005).

“Sepanjang lapan hari Op Selamat ke-15, sebanyak 2,385 operasi dijalankan di seluruh negara dengan 182,755 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan jalan raya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Bagi kejadian pecah rumah dan premis pula, beliau berkata, sebanyak 334 kes dilaporkan di seluruh negara dengan bilangan tertinggi membabitkan kes pecah kediaman (210), diikuti pecah kedai (64), pecah pejabat (32) dan pecah kilang (10).

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador, sebelum ini dilaporkan sebagai berkata polis memberi tumpuan kepada enam kesalahan utama dalam Op Selamat ke-15 yang akan berakhir 12 Jun depan.

Enam kesalahan berkenaan ialah memandu di lorong kecemasan, memotong di garisan berkembar, menggunakan telefon bimbit, memotong barisan, memandu laju dan tidak mematuhi lampu isyarat.

Media sebelum ini juga melaporkan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Datuk Azisman Alias, memaklumkan semua kesalahan berkenaan dikenakan saman maksimum RM300 dan tiada sebarang pengurangan akan diberikan.

Berita Harian X