Khamis, 6 Jun 2019 | 4:43pm
Muhammad Nasrul maut selepas terbabas ke dalam sungai di Kampung Tok Mengkula, Kuala Sanglang, Kedah. - Ihsan pembaca
Muhammad Nasrul maut selepas terbabas ke dalam sungai di Kampung Tok Mengkula, Kuala Sanglang, Kedah. - Ihsan pembaca

Remaja maut terhumban ke dalam sungai

KANGAR: Remaja berusia 20 tahun maut apabila terhumban ke dalam sungai selepas motosikal ditungganginya kemalangan dengan sebuah kereta di Kampung Tok Mengkula, Kuala Sanglang, Kedah, malam tadi.

Mayat Muhammad Nasrul Mahadi dari Kampung Guar Syed Alwi, di sini, ditemui dalam sungai kira-kira jam 11.30 malam.

Menurut ahli keluarga terdekat mangsa, Muhammad Nasrul dipercayai mahu bertemu rakannya di kampung berkenaan untuk meraikan Aidilfitri.

“Sebelum kejadian, arwah ada pergi ke rumah rakan-rakannya di sekitar Perlis bagi meraikan Aidilfitri bersama.

“Dia tidak ada menunjukkan sebarang sikap pelik kerana kami tahu arwah akan bertemu dengan rakan-rakannya di pagi Syawal.

“Rakan-rakannya juga memaklumkan dia seorang individu yang baik malah arwah sering memuji mereka sekiranya bertemu.

“Arwah jarang bertemu dengan rakan-rakannya kerana kebanyakannya bekerja dan belajar di negeri lain,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Ahli keluarga berkenaan berkata, kehilangan Muhammad Nasrul memberi kesan terhadap keluarga mereka.

“Dia memang anak yang baik, malah tidak mempunyai masalah dengan orang lain.

“Cuma kami tidak tahu atas alasan apa dia ke Kuala Sanglang pada waktu itu, mungkin dia ingin bertemu dengan rakannya di sana,” katanya.

Jenazah Muhammad Nasrul selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Orang Islam Kampung Guar Syed Alwi tengah hari tadi, selepas selesai proses bedah siasat di Hospital Jitra, awal pagi tadi.

Berita Harian X