Jumaat, 7 Jun 2019 | 8:23pm

Polis tahan 9 lelaki terbabit pergaduhan di pusat hiburan

KAJANG: Polis menahan sembilan lelaki yang disyaki terbabit dalam kekecohan di sebuah pusat hiburan di Cheras Selatan, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian jam 3.27 pagi itu, seorang lelaki mengalami kecederaan serius sehingga dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk mendapatkan rawatan.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof, berkata kesemua suspek ditahan mengikut Seksyen 148/326 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan mendatangkan kecederaan.

“Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang menerima laporan satu kejadian merusuh membabitkan sekumpulan lelaki pada jam 3.27 pagi di sebuah pusat hiburan di kawasan C180, Cheras Selatan.

“Pergaduhan dipercayai berpunca daripada pelanggaran bahu di dalam pusat hiburan berkenaan, salah seorang individu kemudian bertindak membaling kerusi terhadap mangsa dan seterusnya mengakibatkan kekecohan.

“Salah seorang dari kumpulan terbabit menghubungi rakan-rakannya dan kemudian kira-kira 20 lelaki tiba dan menyerang mangsa,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Ahmad Dzaffir berkata, mangsa dihantar ke Hospital Kajang untuk mendapatkan rawatan, namun dipindahkan ke HKL kerana mengalami kecederaan dalaman.

“Tahanan reman terhadap kesemua sembilan suspek akan dibuat esok.

“Orang ramai yang ada maklumat berhubung kejadian ini pula diminta tampil untuk memberikan keterangan atau boleh menghubungi Pegawai Penyiasat kes iaitu Inspektor Kunalan di talian 014-6124325,” katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X