Sabtu, 8 Jun 2019 | 1:44pm
KETUA Unit Komunikasi Korporat Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Datuk Asmawati Ahmad. NSTP/Saddam Yusoff

Op Selamat 15: 176 kematian dalam tempoh 10 hari

KUALA LUMPUR: Hari ke-10 Op Selamat 15 sempena Aidilfitri, semalam, mencatatkan pertambahan 15 lagi kematian akibat kemalangan jalan raya dengan jumlah keseluruhan sebanyak 176 kematian sejak dilancarkan pada 29 Mei lalu.

Selain itu jumlah kemalangan di seluruh negara turut mencatatkan peningkatan sebanyak 1,677 kemalangan pada hari ke-10, berbanding 1,477 hari sebelumnya.

Ketua Komunikasi Korporat Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Asmawati Ahmad, berkata jumlah kemalangan maut merekodkan sebanyak 164 kes berbanding 149 kemalangan maut di seluruh negara pada hari ke-9 Op Selamat 15.

"Tiga negeri yang mencatatkan peningkatan jumlah kemalangan adalah sepanjang hari ke-10 operasi ini adalah di Selangor sebanyak 346 kes kemalangan, Johor dengan 252 kes kemalangan dan Perak dengan 193 kes kemalangan.

"Sepanjang 10 hari operasi ini dijalankan juga sebanyak 217,683 saman dikeluarkan dengan jumlah 42,737 saman dikeluarkan di semua lebuh raya di seluruh negara oleh Unit Peronda Lebuhraya PDRM, diikuti negeri Selangor dengan jumlah 30,529 saman; Johor dengan 17,706 saman dan Perak 16,464 saman," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata sehingga semalam, PDRM turut merekodkan 441 kes pecah rumah dan premis di seluruh negara dengan bilangan tertinggi adalah membabitkan kes memecah masuk kediaman yang merekodkan 283 kes disusuli dengan kejadian pecah kedai yang mencatatkan jumlah 82 kes serta kes memecah masuk pejabat yang mencatatkan 37 kes.

Sebanyak 107 kes jenayah pecah rumah dan premis dikesan berlaku di Selangor manakala 46 kes di Sabah dan 42 kes di Sarawak.

Sebelum ini Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador, berkata pihaknya akan memberikan tumpuan terhadap enam kesalahan utama dalam Op Selamat ke-15 yang akan berakhir 12 Jun depan.

Enam kesalahan berkenaan ialah memandu di lorong kecemasan, memotong di garisan berkembar, menggunakan telefon bimbit, memotong barisan, memandu laju dan tidak mematuhi lampu isyarat.

Semua kesalahan berkenaan akan dikenakan saman maksimum sebanyak RM300 dan tiada sebarang pengurangan akan diberikan.

Berita Harian X