Sabtu, 8 Jun 2019 | 6:24pm
KETUA Polis Daerah Seberang Perai Utara, ACP Noorzainy Mohd Noor. - NSTP/Shahnaz Fazlie Shahrizal

Mat rempit sambut Aidilfitri dengan berlumba haram ditahan

BUTTERWORTH: Empat remaja lelaki ditahan polis kerana berlumba haram di Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (BORR) sempena cuti Aidilfitri, dengan mempamerkan pelbagai aksi tunggangan berbahaya.

Mereka yang berusia antara 18 hingga 22 tahun itu ditahan dalam Op Samseng Jalanan yang di jalankan Skuad 42 Unit Risikan dan Operasi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Kontinjen Polis (IPK) Pulau Pinang.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, ACP Noorzainy Mohd Noor, berkata polis mengadakan operasi berkenaan bermula jam 1.15 pagi tadi selepas tiga hari umat Islam menyambut Aidilfitri berikutan menerima aduan ada geng mat rempit berlumba haram di lebuh raya berkenaan.

Katanya, siasatan mendapati mereka mula menunggang motosikal secara berbahaya dari Plaza Tol Bagan Ajam menuju ke arah Terminal Kontena Butterworth Utara (NBCT) sebelum berpatah balik dengan melawan arus.

“Mereka ditahan sebaik berhenti di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Bagan Ajam. Pemeriksaan mendapati seorang daripada empat remaja yang ditahan adalah pelajar kolej manakala yang lain bekerja sendiri,” katanya.

Beliau berkata polis turut mengeluarkan saman kerana tiada lesen memandu, lesen tamat tempoh, tiada cermin sisi, tiada nombor plet hadapan dan ubah suai motosikal. - BERNAMA

Berita Harian X