Ahad, 9 Jun 2019 | 1:01pm
PENDUDUK Orang Asli Kampung Kuala Koh yang kritikal dihantar ke Hospital Gua Musang. - Foto Ramli Ibrahim

Kematian Orang Asli di Gua Musang tiada kaitan dengan tibi

KUALA LUMPUR: Kematian dua daripada 13 penduduk Orang Asli suku Batek di Kuala Koh, Gua Musang tiada kaitan dengan penularan wabak tibi seperti yang ditularkan di media sosial.

Pengarah Kesihatan Kelantan, Dr Zaini Hussin, berkata berdasarkan bedah siasat yang dilakukan di Hospital Gua Musang, kematian dua penduduk Orang Asli itu adalah disebabkan jangkitan paru-paru atau pneumonia.

Beliau berkata, 11 lagi kematian seperti yang dilaporkan di media sosial tidak dapat disahkan kerana tidak pernah dilaporkan kepada pihak hospital atau klinik kesihatan.

"Hasil verifikasi oleh Pejabat Kesihatan Daerah Gua Musang mendapati terdapat hanya dua kes yang meninggal dunia dan bedah siasat dilakukan di Hospital Gua Musang.

"Penyebab kematian adalah jangkitan paru-paru (pneumonia). Kematian bagi yang lain, tidak dapat disahkan kerana tidak pernah dilaporkan kepada pihak hospital atau klinik kesihatan.

"Malah pada pagi semalam pasukan Pejabat Kesihatan Daerah diarahkan untuk melakukan carian kes secara aktif (Active Case Detection) di Kuala Koh dan menemui 24 kes lagi yang mempunyai gejala demam dan batuk. Kes ini dibawa ke Klinik Kesihatan Chiku 3 untuk pemeriksaan dan rawatan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Zaini berkata keputusan ujian tibi ke atas 29 penduduk Orang Asli yang dibawa untuk pemeriksaan lanjut di Klinik Kesihatan Aring dan Klinik Kesihatan Chiku 3 pada 4 Jun lalu adalah negatif.

Beliau berkata pemeriksaan klinikal mendapati mereka mempunyai tanda jangkitan di saluran pernafasan.

Katanya, pihak Hospital Gua Musang dan Hospital Kuala Krai sedang melakukan beberapa ujian klinikal lanjutan bagi menentukan penyebab jangkitan itu.

“Setakat ini keputusan ujian terhadap tibi telah diperoleh dan adalah negatif. Pihak kami masih menunggu keputusan ujian yang lain,” katanya.

Daripada 29 kes yang dibawa untuk pemeriksaan lanjut, 12 kes dirawat sebagai pesakit luar dan 17 kes dirujuk ke Hospital Gua Musang.

Selanjutnya tiga daripada 17 kes itu dirujuk ke Hospital Kuala Krai untuk rawatan yang lebih rapi.

29 pesakit termasuk 10 lelaki lelaki itu membabitkan peringkat umur iaitu tiga bayi, 10 kanak-kanak dan 16 dewasa.

Dr Zaini berkata, pihaknya akan terus memantau situasi terkini kes kluster jangkitan saluran pernafasan dalam kalangan masyarakat Orang Asli di kawasan berkenaan.

Beliau berkata kes itu dikesan hasil maklumat sukarelawan Orang Asli pada 4 Jun lalu kepada Pejabat Kesihatan Daerah Gua Musang.

Katanya, pada masa sama aktiviti kawalan dilakukan di lapangan melalui Pejabat Kesihatan Daerah Gua Musang di kawasan berkaitan dengan mengadakan pendidikan kesihatan seperti ceramah dan edaran risalah berkaitan penyakit berjangkit dan kebersihan diri serta persekitaran.

Selain itu, beliau berkata aktiviti carian kes secara aktif (Active Case Detection) ke atas semua penduduk kampung Orang Asli Kuala Koh dan pengesanan kontak di kawasan terbabit turut dilakukan.

"Kita akan terus bekerjasama dengan semua agensi yang terbabit dalam pengurusan pencegahan dan kawalan kejadian ini. Sebarang perkembangan akan dimaklumkan dari masa ke semasa," katanya.

Berita Harian X