Ahad, 9 Jun 2019 | 6:06pm
MAYAT wanita warga tempatan ditemui terapung berhampiran jeti bot pantai perairan Country Garden, Danga Bay. NSTP/Ihsan POLIS

Mayat wanita terapung ditemui di Danga Bay

JOHOR BAHRU: Mayat wanita warga tempatan ditemui terapung berhampiran jeti bot pantai perairan Country Garden, Danga Bay dekat sini, Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Shahurinain Jais, berkata siasatan awal mendapati mangsa yang berusia 25 tahun itu dipercayai membunuh diri.

Katanya, dalam kejadian jam 6.40 petang itu, pihak polis menerima maklumat daripada Polis Bantuan Country Garden berkaitan penemuan mayat wanita.

“Siasatan awal berdasarkan pemeriksaan luar badan mangsa mendapati tiada kesan cedera dan tiada unsur jenayah manakala kenderaan si mati iaitu kereta jenis Perodua Axia ditemui di kawasan kejadian.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru untuk bedah siasat kira-kira jam 11.30 pagi kelmarin.

“Pihak hospital mengesahkan mangsa mati disebabkan lemas dan tiada unsur jenayah dikesan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Kata Shahurinain, waris sudah dibawa ke bilik mayat hospital untuk buat pengecaman pada jam 4.10 petang semalam dan bapa mangsa serta ahli keluarga mengesahkan mangsa adalah anak kandungnya.

“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) dan kira-kira jam 8 malam tadi, mayat mangsa sudah diserahkan kepada waris untuk urusan pengebumian,” katanya.

Berita Harian X