Isnin, 10 Jun 2019 | 3:56pm

Pemilik kedai emas rugi RM5 juta, kedai dipecah masuk

SHAH ALAM: Seorang pemilik kedai emas di Pusat Komersial Seksyen 7, di sini, kerugian lebih RM5 juta selepas barangan kemas disimpan dalam peti besi di premisnya dilarikan perompak.

Kehilangan barangan kemas disimpan dalam empat peti besi di bilik kebal itu hanya disedari pada jam 10 pagi tadi, ketika lelaki berusia 45 tahun itu mahu membuka semula premis selepas cuti Aidilfitri.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib, berkata siasatan polis mendapati perompak masuk ke kedai emas itu melalui lubang saluran angin di belakang premis berkenaan.

“Premis ini masih dibuka sehari sebelum Aidilfitri dan kejadian dipercayai berlaku pada tengah malam sehingga awal pagi Jumaat lalu.

“Polis percaya rompakan ini dilakukan penjenayah profesional kerana mereka masuk menerusi lubang angin, sebelum melalui siling dan terus ke dalam premis.

“Empat peti besi disimpan dalam bilik kebal yang mengandungi semua barang kemas berjaya dilarikan perompak,” katanya pada sidang media di lokasi kejadian di sini, hari ini.

Baharudin berkata, perompak turut melarikan dekoder kamera litar tertutup (CCTV).

“Polis masih menyiasat bilangan perompak terbabit dan meminta kerjasama mereka yang mempunyai maklumat untuk tampil membantu siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya.

Berita Harian X