Isnin, 10 Jun 2019 | 4:18pm
KETUA Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Negeri Sembilan, Superintendan Ibrahim Mohd Abdul Kadir berkata kemalangan di Negeri Sembilan meningkat. - NSTP/Adzlan Sidek
KETUA Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Negeri Sembilan, Superintendan Ibrahim Mohd Abdul Kadir berkata kemalangan di Negeri Sembilan meningkat. - NSTP/Adzlan Sidek

Kemalangan di Negeri Sembilan meningkat

SEREMBAN: Jumlah kemalangan di Negeri Sembilan terus mencatatkan peningkatan apabila sebanyak 926 kemalangan dilaporkan berlaku dalam tempoh 12 hari Op Selamat 15/2019 bermula 29 Mei lalu sehingga semalam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Negeri Sembilan, Superintendan Ibrahim Mohd Abdul Kadir, berkata daripada jumlah itu, sebanyak 10 kes kemalangan maut dicatatkan dengan 11 kematian.

Katanya, kematian tertinggi membabitkan pemandu dan penumpang kenderaan dengan mencatatkan enam kes, manakala penunggang atau pembonceng motosikal (empat) serta pejalan kaki (satu).

“Selain itu, sebanyak 17 kes kemalangan mengakibatkan kecederaan parah dan 14 cedera ringan,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Beliau berkata, pengguna jalan raya mesti mematuhi peraturan dan had laju ditetapkan, selain mengutamakan keselamatan sepanjang perjalanan pulang bagi mengurangkan kadar kemalangan.

Op Selamat 15/2019 dilaksanakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bermula pada 29 Mei lalu sehingga 12 Jun ini.

Sementara itu, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengeluarkan 68 notis saman dalam Operasi Khas Motosikal sempena Hari Raya Aidilfitri di Jalan Tuan Haji Said di sini, malam tadi.

Pengarah JPJ Negeri Sembilan, Azrin Borhan, berkata operasi bermula jam 8 malam sehingga 11 malam itu turut disertai polis, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Imigresen dan Jabatan Alam Sekitar (JAS).

“Dalam operasi itu, sebanyak 221 kenderaan diperiksa. Namun, sebanyak 28 kenderaan diambil tindakan kerana melakukan pelbagai kesalahan termasuk tiada lesen, cukai jalan dan lesen tamat tempoh.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 68 notis saman dikeluarkan termasuk 12 notis arah periksa,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Selain itu, Azrin berkata, seramai tiga individu ditahan AADK selepas ujian saringan dilakukan mendapati positif syabu.

Katanya, Jabatan Imigresen turut menahan enam pendatang asing tanpa izin masing-masing dua Bangladesh dan empat Indonesia untuk tindakan mengikut Akta Imigresen 1963.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X