Isnin, 10 Jun 2019 | 10:12pm

Maut dirempuh lori berundur

IPOH: Seorang penunggang motosikal maut selepas motosikal ditunggangnya dirempuh sebuah lori yang secara tiba-tiba mengundur di Kilometer 263.1 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara berhampiran Terowong Menora di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, mangsa, Mohd Najib Ismail, 21, yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y125ZR itu meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di bahagian badan.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby berkata, siasatan awal mendapati lori dipandu lelaki berusia 48 tahun itu dalam perjalanan dari Sungai Buloh menghala ke Gerik dan berhenti di Vista Point berdekatan Terowong Menora.

“Lori berkenaan dipercayai secara secara tiba-tiba mengundur dari laluan Vista Point hingga ke tengah jalan sebelum merempuh motosikal yang berada di belakangnya.

“Lori itu mengundur secara sendiri dan tiada pemandu di dalam kenderaan berat berkenaan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mohd Ali berkata, siasatan lanjut mendapati pemandu lori berkenaan mendakwa brek lori berkenaan gagal berfungsi menyebabkan kenderaan berat itu mengundur.

Katanya, akibat kemalangan itu, penunggang motosikal disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan yang tiba.

“Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk bedah siasat dan mangsa meninggal dunia akibat parah di bahagian dada dan perut.

“Kenderaan yang terbabit dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh untuk pemeriksaan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM).

“Siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Dalam pada itu, video berdurasi satu minit itu yang dirakam menerusi kamera ‘dashboard’ menunjukkan sebuah lori mengundur secara tiba-tiba menjadi tular di media sosial selepas kemalangan itu.

Mohd Ali berkata, pihaknya mengesahkan menerima maklumat berhubung video berkenaan namun siasatan lanjut masih dijalankan.

SEBUAH lori yang secara tiba-tiba mengundur di Kilometer 263.1 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara berhampiran Terowong Menora yang merempuh Mohd Najib (gambar kecil).
Berita Harian X