Selasa, 11 Jun 2019 | 9:08am
KETUA Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador. - Foto BERNAMA
KETUA Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador. - Foto BERNAMA

Ancaman Kumpulan Abu Sayyaf masih tinggi - KPN

KUALA LUMPUR: Ancaman Kumpulan Abu Sayyaf yang dipercayai berpangkalan di Jolo, Sulu di Filipina terhadap kepulauan di timur Sabah masih tinggi meskipun Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) diwujudkan, kata Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador.

Beliau menegaskan serangan kumpulan itu boleh berlaku pada setiap hari dan pada bila-bila masa saja.

“Oleh yang demikian, ESSCom akan ada penyusunan dan penstrukturan semula (dari segi) penempatan pasukan keselamatan negara yang membabitkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).

“Antaranya penstrukturan semula membabitkan struktur kawalan kawasan yang mana berlaku pertukaran pos-pos pengawal yang sudah diambil alih oleh PDRM dan ATM, akan dikemaskinikan,” katanya dalam temu ramah eksklusif dengan Bernama di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini.

Abdul Hamid berkata proses penstrukturan semula itu sedang berjalan menerusi Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan ia adalah untuk memantapkan lagi ESSCom.

Beliau berkata apa jua ancaman di kepulauan timur Sabah sentiasa ada setiap hari.

“Ini kerana Sabah tersangat dekat dengan Filipina, sekiranya jarak Semenanjung Malaysia dengan Sumatera boleh tahanlah, tapi di Sabah, hanya mengambil masa kira-kira 15 minit menaiki bot laju sudah boleh masuk ke perairan Filipina,” katanya.

Abdul Hamid berkata ia cukup senang untuk kumpulan Abu Sayyaf melintasi sempadan perairan negara ini dengan begitu mudah sekali.

“Bagaimanapun, kerajaan Filipina sebelum ini sudah mewujudkan kawalan keselamatan menyeluruh di Kepulauan Jolo yang berdekatan dengan Kunak serta Lahad Datu, Sabah dan dengan langkah itu barulah ia melegakan kami,” katanya.

Beliau berkata, ESSCom perlu sentiasa berwaspada dengan sebarang ancaman yang diterima dan tidak leka ketika menjalankan penugasan operasi.

Pada 6 Mei lalu, Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu, mengumumkan bahawa ESSCom akan distruktur semula bagi mempertingkatkan lagi keselamatan di pantai timur negeri berkenaan.

Menurutnya, Majlis Keselamatan Negara sedang berbincang mengenai keputusan itu, termasuk usaha memperoleh peralatan tambahan bagi memantapkan tugas pasukan keselamatan di bawah ESSCom. - BERNAMA

Berita Harian X