Selasa, 11 Jun 2019 | 10:53am

Lelaki mengaku dera anak angkat direman

KUALA LUMPUR: Suspek lelaki berusia 49 tahun yang mengaku mendera anak angkatnya berusia tujuh tahun pada 30 Mei lalu, direman di Mahkamah Petaling Jaya pagi ini selepas diberkas semalam.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Ismadi Borhan, berkata hasil pemeriksaan di sebuah rumah di Jalan Pinggiran Putra, Seri Kembangan turut menemui dua sudu panjang berukuran 80 sentimeter dipercayai digunakan suspek untuk mencederakan kanak-kanak perempuan berkenaan.

Katanya, seorang lagi anak lelaki suspek berusia 9 tahun berada dalam jagaan ibu suspek dan akan dihantar untuk pemeriksaan di hospital.

“Mangsa dera masih mendapatkan rawatan di Hospital Serdang manakala siasatan lanjut diteruskan mengikut Seksyen 31 Akta kanak-kanak 2001,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini

Pada 5 Jun lalu, kanak-kanak itu dilaporkan melecur di pipi, tangan dan pinggang akibat didera bapa angkatnya menggunakan sudu panas selepas dituduh mencuri wang.

Kejadian berlaku di rumah mangsa di Taman Pinggiran Putra, Seri Kembangan dan hanya disedari ibu angkatnya yang pulang dari bercuti pada 2 Jun lalu.

Suspek pula dikatakan melarikan diri sehari selepas kejadian dan meninggalkan mangsa bersama seorang lagi anak lelakinya di rumah berkenaan.

Berita Harian X