Selasa, 11 Jun 2019 | 6:12pm
ALIRAN trafik bergerak perlahan sekitar jam 10 pagi tadi di Plaza Tol Kuala Terengganu di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT 2) berikutan orang ramai mula pulang ke destinasi masing-masing. NSTP/Imran Makhzan
ALIRAN trafik bergerak perlahan sekitar jam 10 pagi tadi di Plaza Tol Kuala Terengganu di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT 2) berikutan orang ramai mula pulang ke destinasi masing-masing. NSTP/Imran Makhzan

Op Selamat 15: Jumlah kemalangan maut di Terengganu menurun

KUALA TERENGGANU: Terengganu mencatatkan penurunan jumlah kemalangan maut sepanjang Op Selamat 15/2019 yang dilancarkan pada 29 Mac lalu sempena Aidilfitri, dengan keseluruhannya 13 kes direkodkan.

Ia jauh lebih rendah berbanding 24 kes kemalangan maut yang direkodkan dalam operasi sama tahun lalu.

Bagaimanapun, Timbalan Ketua Polis Terengganu, Datuk Allaudeen Abdul Majid, berkata jumlah kes kemalangan dalam kali ini meningkat 70 kes, menjadikan keseluruhannya 640 kes berbanding 570 kes pada Op Selamat 13/2018.

Beliau berkata, Op Selamat 15 mencatatkan 13 kes kemalangan maut yang mengorbankan 13 mangsa berbanding 24 kes kemalangan maut membabitkan 25 kematian pada tahun sebelumnya.

“Daripada 640 kes kemalangan, sebanyak 13 kes kematian direkodkan, manakala lima kes membabitkan kecederaan parah dan satu kes cedera ringan.

“Kes kemalangan dalam Op Selamat 15 juga membabitkan keseluruhan 1,043 kenderaan termasuk kereta, motosikal, van dan bas,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu, di sini hari ini.

Allaudeen berkata, polis turut mengeluarkan sejumlah 16,183 saman atas pelbagai kesalahan kepada pengguna jalan raya.

Katanya, jalan Persekutuan merekodkan jumlah kemalangan jalan raya tertinggi iaitu 291 kes, diikuti jalan negeri (146 kes), jalan bandaran (131 kes), lain-lain jalan (39 kes) dan lebuh raya (33 kes).

“Daripada segi perbandingan mengikut daerah pula, Kemaman mencatatkan peningkatan kes kemalangan paling tinggi iaitu 100 kes berbanding operasi sama tahun lalu yang merekodkan 78 kes.

“Dungun pula mencatatkan penurunan sebanyak lapan kes kemalangan iaitu daripada 84 kes tahun sebelum ini kepada hanya 76 kes tahun ini,” katanya.

Op Selamat 15/2019 sempena perayaan Aidilfitri bermula pada 29 Mei lalu dan berakhir esok.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X