Khamis, 13 Jun 2019 | 9:05pm

Mayat ditemui terapung

KULIM: Penjaga lembu yang dipercayai lemas ditemui terapung di Sungai Muda di Kampung Tanjung Belit, Padang Serai, di sini, petang tadi.

Mangsa dikenali sebagai Muhammad Amirul Amir, 25, dari Kampung Sidam Kanan, Padang Serai.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Mohd Yusof Shaari, berkata pihaknya menerima panggilan daripada orang awam berhubung penemuan mayat itu pada jam 2.16 petang.

“Sepasukan polis bergegas ke lokasi kejadian sebaik saja menerima maklumat berkenaan.

“Kita turut meminta bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) bagi membantu menarik mangsa ke tebing sungai,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati tiada sebarang kesan kecederaan pada badan mangsa.

“Hasil bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia dalam tempoh 24 jam akibat lemas berdasarkan keadaan fizikal mangsa yang masih dalam keadaan baik.

“Menurut keluarganya, mangsa juga mempunyai penyakit sawan,” katanya.

Berita Harian X