Jumaat, 14 Jun 2019 | 11:08am
OMAR Mammah

16 kes kemalangan maut di Sabah sepanjang Op Selamat 15

KOTA KINABALU: Sebanyak 16 kes kemalangan maut dilaporkan di negeri ini sepanjang tempoh Op Selamat 15 bermula 29 Mei hingga 12 Jun lalu sempena musim perayaan Aidilfitri.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah, berkata secara keseluruhan, sebanyak 693 kes kemalangan jalan raya dicatatkan sepanjang tempoh berkenaan berbanding 693 kes pada operasi sepanjang musim Aidilfitri tahun lalu.

“Statistik ini menunjukkan penurunan sebanyak 118 kes bersamaan negatif 15 peratus. Kes kemalangan maut menunjukkan penurunan sebanyak empat kes bersamaan negatif 20 peratus berbanding 20 kematian dalam operasi sepanjang tempoh sama tahun lalu.

“Mangsa paling ramai maut adalah pengguna motosikal dengan sembilan kes. Daripada semua kes maut, 12 kes berlaku di kawasan ‘black spot’,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Katanya, punca utama kemalangan adalah melanggar belakang kenderaan iaitu 250 kes, diikuti langgar tepi kenderaan (152), terbabas (145), bergesel (30) dan langgar dari arah hadapan (26).

Beliau berkata, kajian juga mendapati sebanyak 1,207 kenderaan terbabit kemalangan jalan raya sepanjang tempoh itu, membabitkan 747 kereta, pacuan empat roda (266), motosikal (59), lori (46).

Dari sudut penguatkuasaan sepanjang Op Selamat 15 pula, beliau berkata, sebanyak 25,179 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.

“Jumlah saman meningkat berbanding 20,105 saman dalam Op Selamat 13 sempena musim perayaan Aidilfitri pada 2018, peningkatan sebanyak 5,074 atau 25 peratus. Kesalahan paling banyak dikesan adalah memandu melebihi had laju yang membabitkan pengeluaran 8,612 saman.

“Kategori jalan yang paling banyak berlaku kemalangan pula adalah di jalan Persekutuan dengan 327 kes, manakala jalan negeri sebanyak 299 kes,” katanya.

Mengenai kes jenayah pecah rumah pada operasi berkenaan, Omar berkata, tiada kes dilaporkan sepanjang musim perayaan kali ini.

Berita Harian X