Jumaat, 14 Jun 2019 | 2:44pm

2 suspek kes samun, tetak ditahan

TUARAN: Dua suspek kes samun dan tetak seorang pembantu kedai runcit sehingga mengalami kecederaan parah di Pekan Tuaran, Sabtu lalu, berjaya ditahan polis.

Suspek warga tempatan 19 dan 26 tahun itu ditahan keesokan harinya kira-kira jam 9 pagi di rumah masing-masing di Kampung Simpangan, di sini.

Ketua Polis Daerah Tuaran, Deputi Superintendan Mohd Hamizi Halim, berkata hasil siasatan mendapati kedua-dua suspek tidak mempunyai pekerjaan dan melakukan jenayah itu untuk mendapatkan wang bagi membeli dadah.

“Suspek dipercayai hanya mengambil kesempatan menyamun untuk mendapatkan wang membeli bekalan dadah.

“Namun, kurang daripada 24 jam, kedua-duanya berjaya ditahan di rumah masing-masing dan hasil saringan ujian awal air kencing menunjukkan mereka positif dadah jenis syabu,” katanya pada sidang media selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Balai Tamparuli, di sini hari ini.

Mengulas lanjut berhubung kejadian itu, katanya, polis berjaya mendapatkan telefon bimbit mangsa semula namun masih disimpan untuk membantu siasatan manakala pisau pemotong daging yang digunakan suspek untuk menetak mangsa turut dirampas.

“Turut dirampas dua topi keledar, motosikal jenis Modenas Kriss 110cc, pakaian, selipar dan kasut milik suspek untuk siasatan lanjut.

“Suspek direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun serta mendatangkan kecederaan,” katanya.

Terdahulu, dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari, Sabtu lalu, mangsa warga Pakistan berusia 23 tahun ditetak di bahagian belakang kepala selepas mempertahankan barangan berharga miliknya yang cuba dilarikan suspek.

Mangsa yang cedera dirawat sebagai pesakit luar dan menerima enam jahitan di Hospital Tuaran.

Sementara itu, pada majlis berkenaan, bekas Ketua Polis Balai Tamparuli, Sarjan Mejar Jemrin Majid bersara wajib selepas 40 tahun berkhidmat dan kini jawatannya itu digantikan Pemangku Ketua Polis Balai Tamparuli, Sarjan Jaafar Yassee untuk sementara waktu.

Berita Harian X