Jumaat, 14 Jun 2019 | 3:22pm
MAHKAMAH Majistret di Bahau, hari ini, memerintahkan Norzailan Omar membela diri atas dakwaan menyebabkan kematian lapan orang dalam kemalangan di Jempol dua tahun lalu. - Foto Adzlan Sidek
MAHKAMAH Majistret di Bahau, hari ini, memerintahkan Norzailan Omar membela diri atas dakwaan menyebabkan kematian lapan orang dalam kemalangan di Jempol dua tahun lalu. - Foto Adzlan Sidek

Sebabkan kematian lapan orang, pemandu treler diperintah bela diri

BAHAU: Mahkamah Majistret di sini, hari ini, memerintahkan seorang pemandu treler membela diri atas dakwaan menyebabkan kematian lapan orang dalam kemalangan di Jempol dua tahun lalu.

Keputusan itu dibuat oleh Majistret Khir Nizam Jemari selepas mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya mengemukakan kes prima facie terhadap Norzailan Omar, 46.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memandu secara berbahaya tanpa mengambil perhatian terhadap segala hal termasuk jenis, keadaan dan saiz jalan serta kesesakan lalu lintas yang boleh dijangka atau mungkin ada di atas jalan itu sehingga menyebabkan kematian lapan orang pemandu dan penumpang yang menaiki dua kenderaan lain.

Berikutan itu, dia melakukan kesalahan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 memperuntuk hukuman penjara minimum dua tahun dan maksimum 10 tahun serta denda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih RM20,000.

Selain itu, lesennya boleh digantung dan hilang kelayakan daripada memegang atau mendapatkan lesen memandu selama tiga tahun dari tarikh sabitan, jika sabit kesalahan.

Mahkamah akan mendengar keterangan pembelaan tertuduh pada 15 dan 16 Julai ini.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Amirul Noor Hashim, manakala tertuduh diwakili peguam D Anuratha dan Kevin Lai.

Akhbar sebelum ini melaporkan, pada 11 Jun 2017 treler yang dipandu tertuduh terbabit dalam kemalangan dengan tiga kenderaan lain di Kilometer 25 Jalan Bahau-Keratong, Jempol.

Tragedi itu mengorbankan Wan Mohd Fauzi Wan Mohd Ibrahim, 51, Masnoraida M Yusoff, 45, serta empat anak mereka, Wan Muhammad Muhaimmin, 22, Wan Nor Athira, 18, Wan Mohd Ammar Haziq, 13, dan Wan Nur Aiesya, 7.

Dua lagi maut ialah pemandu sebuah kereta Osman Mohamed Taip, 31, dan isteri, Rosniza Othman, 32.

Berita Harian X