Jumaat, 14 Jun 2019 | 4:29pm

Kanak-kanak 9 tahun kritikal terjatuh tingkat empat apartment

SERDANG: Seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun kritikal selepas terjatuh dari tingkat empat sebuah apartment di Bandar Baru Permai, Seri Kembangan, di sini, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Ismadi Borhan, berkata berdasarkan siasatan awal, kanak-kanak terbabit dipercayai tergelincir ketika bermain berdekatan balkoni rumahnya sebelum terjatuh dari apartment 11 tingkat itu.

Katanya, sepasukan pegawai perubatan Hospital Serdang ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan daripada orang awam pada jam 9.40 pagi dan sebaik tiba, kanak-kanak itu didapati cedera parah dan tidak sedarkan diri sebelum bertindak memberikan rawatan awal.

“Pemeriksaan kemudian mendapati kanak-kanak itu mengalami luka di bahagian kepala selain kedua-dua tangan serta peha kiri dan kanan patah.

“Mangsa turut mengalami pendarahan di perut dan paru-paru,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, mangsa kini dirawat di Zon Merah Hospital Serdang dan siasatan lanjut berhubung kejadian itu masih dijalankan.

Berita Harian X