Jumaat, 14 Jun 2019 | 10:43pm
TIGA maut dalam satu kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kampung Cherok Paloh. NSTP/Ihsan BOMBA
TIGA maut dalam satu kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kampung Cherok Paloh. NSTP/Ihsan BOMBA

Tiga sekeluarga maut, 4 lagi cedera 2 kenderaan bertembung

KUANTAN: Perjalanan pulang lima sekeluarga daripada melawat saudara di hospital di sini berakhir tragedi apabila tiga daripada mereka maut dalam kemalangan berhampiran Kampung Cherok Paloh di sini, hari ini.

Mereka yang terbunuh dalam kemalangan kira-kira jam 4 petang itu pemandu Proton Saga, Nurul Jannah Bazlan, 24; anaknya, Nur Syaffina Qalesya Mohammad Solahuddin, 4, dan ibu Nurul Jannah, Asnawati Muslimin, 53.

Kejadian turut menyebabkan seorang lagi anak Nurul Jannah, Muhammad Syamil Aqmal berusia 11 bulan serta adik Nurul Jannah, Nurul Syaffiya, 17, cedera.

Keluarga itu dalam perjalanan pulang selepas melawat bapa saudara Nurul Jannah di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini, sebelum kereta mereka naiki bertembung dengan kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Chery Eastar dinaiki pasangan suami isteri dikenali sebagai Nasran Samsudin, 52, dan Masnida Muda, 46.

yang turut parah.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik negeri, Superintendan Kamarulzaman Jusoh, berkata siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berpunca daripada kereta Proton Saga yang tiba-tiba memasuki laluan bertentangan dan melanggar MPV itu.

"Pemandu Proton Saga terbabit serta penumpang hadapan seorang wanita berusia 53 tahun dan kanak-kanak berusia empat tahun meninggal dunia di tempat kejadian.

“Penumpang wanita berusia 17 tahun cedera pada dahi dan kanak-kanak berusia 11 bulan patah paha kiri.

"Pemandu MPV terbabit seorang lelaki turut mengalami kecederaan patah tulang selangka sebelah kiri, manakala penumpangnya seorang wanita pecah lutut kanan.

“Mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Pekan, manakala kanak-kanak lelaki yang cedera mendapat rawatan di HTAA," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Kamarulzaman berkata, mayat mangsa dibawa ke HTAA untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, bapa mentua Nurul Jannah, Mohd Saufi, 50an, berkata mereka mendapat berita sedih itu daripada suami Nurul Jannah yang juga anak sulungnya, Mohammad Solahuddin, 30, jam 5 petang.

"Memang terkejut sebab mereka sekeluarga baru pulang dari beraya bersama kami di Kampung Sabak, Kuala Rompin, Rabu lalu. Memang tidak ada apa-apa perubahan kepada menantu dan cucu saya.

"Cuma, dia (Nurul Jannah) ada minta dengan emak mentuanya untuk buatkan nasi lemak sebab dia teringin. Permintaan dia sejak penghujung puasa lagi, tetapi dapatlah makan pada hari raya kedua. Anak arwah juga teringin makan ais krim Milo dan kami buatkan.

“Arwah dan cucu memang sangat manja dan raya kali ini nampak menantu saya sangat seronok sebab dapat beraya dengan keluarga, jadi memang betul-betul tak sangka sebab baru sangat kami berjumpa, (tetapi) pengakhirannya begini, sedih juga mengenangkan anak saya dengan seorang lagi cucu kehilangan emak dan kakak serentak," katanya yang ditemui di HTAA di sini.

Beliau sekeluarga yang tinggal di Taman Chini Permai, Chini, berkata suami Nurul Jannah bekerja sebagai pengawal keselamatan sebuah bank.

Seorang lagi saudara mereka, Rafie Ismail, 42, berkata Nurul Jannah sekeluarga ke HTAA sejak jam 10 pagi tadi bagi melawat bapa saudaranya yang dimasukkan ke hospital itu sejak seminggu lalu akibat penyakit buah pinggang.

Beliau yang juga Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Ketapang Tengah, Pekan, berkata arwah tidak pernah menggunakan laluan Tanjung Kosong untuk pulang ke Pekan.

"Selalu dia akan balik melalui Jalan Penor, tetapi hari ini dia gunakan laluan Tanjung Kosong yang tak pernah dilaluinya.

"Arwah tidak bekerja cuma berniaga nasi lemak di kampung. Sesuatu yang mengejutkan dan tak disangka, mereka tiga beranak pergi serentak," katanya yang ditemui di sini.

Jenazah ketiga-tiga mangsa akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ketapang Hilir, Pekan, esok.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X