Sabtu, 15 Jun 2019 | 4:46pm

Dua beradik ditahan cetak wang palsu RM100

KEMAMAN: Polis menahan dua beradik kerana dipercayai terbabit dengan kes penggunaan wang palsu RM100 di daerah ini baru-baru ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kemaman, Deputi Superintendan Mohd Haki Hasbullah, berkata kakak dan adik lelakinya, masing-masing berusia 40-an dan 20-an itu ditahan di Kuala Lumpur pada Khamis dan Jumaat lalu oleh pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kemaman.

“Kita berjaya mengesan suspek berkenaan iaitu seorang wanita dan adik lelakinya berdasarkan maklumat nombor pendaftaran kenderaan yang digunakan oleh mereka ketika berurusan di daerah ini.

“Berdasarkan maklumat itu, pihak JSJK, kita membuat serbuan di sebuah kediaman di Kuala Lumpur yang dipercayai dijadikan pusat operasi pencetakan wang palsu,” katanya katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Dalam serbuan itu polis merampas sepasang baju kebaya yang dipakai suspek wanita ketika berurusan di beberapa premis di Kemaman selain sebuah mesin pencetak wang serta bahan-bahan pembuatan wang palsu.

Menurut Mohd Haki, siasatan awal mendapati suspek dikatakan baharu sahaja menjalankan aktiviti mencetak wang palsu dan menjadikan Terengganu sebagai lokasi percubaan sebelum menggunakannya di negeri-negeri lain.

Kedua-dua suspek dibawa ke daerah ini dan masing-masing ditahan reman sehingga esok dan 18 Jun ini untuk membantu siasatan berhubung kes itu.

Sebelum ini tular di laman sosial Facebook mengenai seorang wanita yang berkebaya hijau yang menaiki kereta mewah, menggunakan wang kertas RM100 dipercayai palsu untuk berbelanja di gerai-gerai di daerah terbabit pada awal Syawal lalu. – BERNAMA

Berita Harian X