Sabtu, 15 Jun 2019 | 8:38pm
SEKUMPULAN mat rempit diserbu dalam Op Samseng Jalanan di kawasan Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE) arah selatan membabitkan laluan Teluk Intan ke Hutan Melintang. NSTP/Ihsan PDRM

Polis serbu mat rempit jadikan WCE litar lumba haram

TELUK INTAN: Sekumpulan mat rempit diserbu dalam Op Samseng Jalanan di Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE) arah selatan membabitkan laluan Teluk Intan ke Hutan Melintang, dekat sini awal pagi tadi.

Dalam operasi yang dijalankan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak pada 1 pagi itu, sebanyak 50 motosikal dan 34 individu membabitkan penunggang serta pembonceng motosikal diperiksa.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Mohd Marzukhi Mohd Mokhtar berkata, bertindak atas maklumat awam Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Hilir Perak, membuat pemeriksaan terhadap pengguna motosikal yang berada di lebuh raya berkenaan.


SEKUMPULAN mat rempit diserbu dalam Op Samseng Jalanan di kawasan Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE) arah selatan membabitkan laluan Teluk Intan ke Hutan Melintang. NSTP/Ihsan PDRM

Menurutnya, operasi itu juga membabitkan Bahagian Siasatan Jenayah; Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik; Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti serta Bahagian Sumber Strategik dan Teknologi IPD Hilir Perak.

“Hasil pemeriksaan 69 saman dikeluarkan membabitkan kesalahan nombor pendaftaran tidak mengikut peraturan (22); tidak mengikut laluan yang betul (13); tiada lesen (9); tiada cukai jalan (8); ubahsuai kenderaan (7); tiada cermin sisi (6) dan ekzos tidak mengikut peraturan (4).

“Daripada 50 motosikal yang diperiksa, sebanyak 18 daripadanya ditahan kerana menunggang motosikal dipercayai untuk melarikan diri semasa operasi dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Mohd Marzukhi berkata, seorang daripada lapan penunggang yang menjalani ujian air kencing juga disahkan positif dadah jenis Methamphetamine, dan remaja lelaki berusia 17 tahun berkenaan kini ditahan bagi siasatan lanjut.

Jajaran WCE Banting-Taiping Seksyen 8 dari persimpangan Hutan Melintang ke Teluk Intan sepanjang 19.1 kilometer (km) dibuka secara rasmi kepada pengguna jalan pada 31 Mei lalu.

Setakat ini polis sudah membuat dua serbuan di lebuh raya berkenaan yang dijadikan litar lumba haram dengan serbuan pertama pada 26 Mei lalu membabitkan 283 individu dan 277 motosikal diperiksa serta 374 saman dikeluarkan dan 11 motosikal disita.

Berita Harian X