Ahad, 16 Jun 2019 | 4:16pm

Lelaki dera anak angkat didakwa esok

KUALA LUMPUR: Lelaki yang mengaku mendera anak angkatnya berusia tujuh tahun di Taman Pinggiran Putra, Seri Kembangan, dekat Serdang, pada 30 Mei lalu, akan didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya jam 8 pagi esok.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Ismadi Borhan, berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 31 Akta kanak-kanak 2001.

“Maklumat lanjut boleh diketahui di mahkamah ketika pertuduhan dibacakan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pada 11 Jun lalu, lelaki berusia 49 tahun terbabit yang mengaku mendera kanak-kanak perempuan itu direman di Mahkamah Petaling Jaya.

Ismadi dilaporkan berkata hasil pemeriksaan sebuah rumah di lokasi kejadian turut menemui dua sudu panjang berukuran 80 sentimeter dipercayai digunakan suspek untuk mencederakan kanak-kanak perempuan berkenaan.

Katanya, seorang lagi anak lelaki suspek berusia sembilan tahun berada dalam jagaan ibu suspek dan akan dihantar untuk pemeriksaan di hospital.

Berita Harian X