Ahad, 16 Jun 2019 | 5:01pm

Empat maut nahas dua lori, kereta

BERA: Hasrat lima sekeluarga menghadiri kenduri pertunangan di Serting, Negeri Sembilan, bertukar tragedi apabila empat daripadanya maut dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta dengan dua lori di Kilometer 51 Jalan Temerloh-Kemasul di Bera, hari ini.

Dalam kejadian jam 1.50 tengah hari itu, pemandu kereta Perodua Viva, Nor Amri Mohd Ali, 35, serta penumpang, Siti Rahmah Abidin, 33; Siti Zubaidah Abidin, 40 dan Aqil Ziqri Shah Kamaruzaman, 6, maut di tempat kejadian.

Seorang penumpang kereta, Nor Shuhada Shukri, 29, parah di kepala dan pemandu lori, Norzami Mohd Nor, 39, cedera di kepala.


Keadaan lori dan kereta yang terbabit kemalangan di Jalan Kuari Bukit Mendi-Felda Bukit Mendi di Bera. - Foto BERNAMA

Ketua Polis Daerah Bera, Deputi Superintendan Mansor Samsudin, berkata kereta yang datang dari arah Kemasul ke Temerloh itu merempuh sebuah lori yang tiba-tiba terbabas memasuki laluan bertentangan.

“Lori yang terbabas lalu memasuki laluan bertentangan itu melanggar sebuah lori serta sebuah kereta yang dinaiki lima mangsa,” katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau berkata, semua mangsa yang meninggal dunia dan cedera dibawa ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Difahamkan jenazah semua mangsa akan dikebumikan di Tanah Perkuburan FELDA Bukit Puchong selepas proses bedah siasat selesai.

AHLI keluarga mangsa ketika ditemui di perkarangan unit forensik Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh. - Foto Farizul Hafiz Awang
AHLI keluarga mangsa ketika ditemui di perkarangan unit forensik Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh. - Foto Farizul Hafiz Awang
Berita Harian X