Ahad, 16 Jun 2019 | 7:29pm
KENDERAAN polis membawa keluar mayat Orang Asli Suku Batek di Kampung Kuala Koh. - Foto Fathil Asri

Lapan mayat terakhir dibawa keluar

GUA MUSANG: Lapan mayat terakhir Orang Asli suku Batek dari Kuala Koh dibawa keluar dan dihantar ke Hospital Gua Musang (HGM) untuk tindakan lanjut.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Mohd Taufik Maidin, berkata semua mayat berkenaan dibawa keluar antara jam 1.10 tengah hari hingga jam 6.40 petang tadi.

Katanya, identiti semua mangsa dipercayai Mohd Salleh Kaizan dan Amer Lee masing-masing berusia setahun; Puspa Lee, 5; Farah Rahim, 20; Haika Rahim,22; Leha Hamdan, 26, Jais Keladi, 55, dan Jelik Jong yang usia tidak dikenal pasti.

“Hari ini empat kumpulan yang masuk bagi operasi membawa keluar dan perjalanan hari ini dipermudahkan walaupun ada lokasi perlu menggunakan bot menyeberangi sungai selama dua jam.

“Dengan membawa keluar lapan mayat hari ini, semua 12 mayat itu sudah ditemui dan dihantar ke HGM,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Mohd Taufik berkata, pusat operasi di FELDA Aring 10, di sini, belum ditutup walaupun semua mayat sudah dibawa keluar.

“Kita hanya menangguhkan operasi dan menunggu arahan lanjut. Pada masa sama, keanggotaan operasi juga akan diperkecilkan,” katanya.

Beliau turut berterima kasih kepada semua pihak yang membantu sepanjang Ops Batek berlangsung.

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X