Selasa, 18 Jun 2019 | 10:02am
DADAH jenis methampetamin yang dirampas daripada dua lelaki warga Thailand di Kampung Seri Mariah. - Foto Ihsan PDRM

Tukang masak khayal dadah kena cekup

BATU GAJAH: Polis menahan dua lelaki warga Thailand berusia 23 dan 30 tahun selepas pemeriksaan di rumah sewa mereka di Kampung Seri Mariah di sini, semalam, menemui dadah jenis syabu.

Dalam pemeriksaan jam 2.30 petang itu, dadah seberat 0.30 gram ditemui dalam plastik lutsinar yang disembunyikan di dalam bekas gula-gula getah.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri, berkata kedua-dua suspek yang bekerja sebagai tukang masak itu turut didapati tinggal lebih masa di negara ini.

“Suspek adalah dua beradik berasal dari Pattani, Thailand dan masuk ke negara ini untuk bekerja sebagai tukang masak namun pas lawatan sosial mereka sudah tamat lebih tiga bulan.

“Ujian air kencing dijalankan terhadap kedua-dua suspek didapati positif dadah namun kedua-dua mereka tiada rekod jenayah lampau,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ahmad Adnan berkata, kedua-dua suspek disiasat mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Katanya, polis akan mendapatkan perintah reman hari ini terhadap kedua-dua suspek bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.

Berita Harian X