Rabu, 19 Jun 2019 | 1:55pm
Pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membawa seorang penolong jurutera dan seorang kontraktor untuk permohanan reman di Mahkamah Majistret Ipoh bagi membantu siasatan kes mengemukakan tuntutan palsu bagi kerja-kerja membaikpulih sungai, tahun lalu. - Foto Effendy Rashid

Penolong jurutera, kontraktor buat tuntutan palsu ditahan

IPOH: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perak menahan seorang penolong jurutera dan seorang kontraktor bagi membantu siasatan kes mengemukakan tuntutan palsu bagi kerja-kerja membaikpulih sungai, tahun lalu.

Kedua-dua suspek masing-masing berusia 58 dan 57 tahun itu ditahan ketika hadir memberikan keterangan di Ibu Pejabat SPRM negeri di sini, antara jam 7.20 hingga 8.20 malam tadi.

Difahamkan, SPRM turut menahan dua lagi lelaki yang juga dipercayai terbabit dalam kes berkenaan namun tidak direman dan dibebaskan dengan jaminan SPRM.

Kedua-dua suspek dibawa ke Mahkamah Majistret di sini hari ini jam 11.30 pagi sebelum Majistret Nurul Hafizah Mohammad Pauzi membenarkan kedua-dua mereka direman selama enam hari bermula hari ini.

Sumber SPRM berkata, kedua-dua suspek iaitu Penolong Jurutera Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Daerah Perak Tengah dan kontraktor berkenaan dipercayai terbabit dengan mengemukakan tuntutan palsu bagi kerja-kerja membaik pulih sungai oleh JPS.

“Mereka dipercayai terbabit dengan tuntutan mengandungi butiran palsu bagi kerja-kerja baik pulih sungai membabitkan empat sebut harga berjumlah RM720,000 pada tahun lalu.

“Namun tiada sebarang kerja-kerja fizikal membaikpulih di tebing sungai dibuat di tapak sehingga ke hari ini dan bayaran penuh kerja sudah dibuat.

“Kontraktor yang dipercayai kroni kepada pegawai dan kakitangan JPS Perak Tengah itu juga sudah menerima bayaran,” katanya.

Menurut sumber, mereka dipercayai berpakat untuk membuat tuntutan palsu berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Sementara itu, Pengarah SPRM Perak, Datuk Mohd Fauzi Mohamad ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.

Berita Harian X