Rabu, 19 Jun 2019 | 2:34pm

Pecah amanah SSP, bekas juruwang BSN dipenjara tiga tahun, tiga sebatan

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun dan tiga sebatan terhadap bekas juruwang Bank Simpanan Nasional (BSN), selepas didapati bersalah melakukan pecah amanah berjumlah RM248,050 dengan membuat penebusan Sijil Simpanan Premium (SSP) milik pelanggan bank itu, tujuh tahun lalu.

Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail menjatuhkan hukuman itu terhadap Shafiq Izzudin Ibrahim, 26, selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Tertuduh didakwa sebagai kerani yang diamanahkan dengan penguasaan harta BSN iaitu RM248,050, melakukan pecah amanah jenayah dengan membuat penebusan SSP milik pelanggan bank itu antara 2 Ogos 2012 hingga 2 Oktober 2012, di BSN Cawangan Putrajaya.

Tuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 14 tahun dan sebatan serta denda.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nurul Khairiyah Samsudin memohon mahkamah mengenakan hukuman berat terhadap tertuduh.

“Kesalahan ini membabitkan SSP milik dua individu kenamaan iaitu bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan bekas Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri Mohamed Khalid Yusof yang masing-masing hadir ke mahkamah sebagai saksi pendakwaan,” katanya.

Shafiq Izzudin yang diwakili peguam, Zamri Ibrahim memohon mahkamah membenarkan jaminan bon berkelakuan baik dan bercagar selama tiga tahun tetapi dibantah Nurul Khairiyah.

Berita Harian X