Rabu, 19 Jun 2019 | 2:38pm
Ketua Polis Kelantan Datuk Hasanuddin Hassan. - Foto Syamsi Suhaimi

Bedah siasat 14 mayat Orang Asli selesai - Ketua Polis Kelantan

KOTA BHARU: Kesemua 14 mayat dan rangka yang dikeluarkan dari Kuala Koh, Gua Musang sudah selesai menjalani proses bedah siasat sebelum dikebumikan semula.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan, berkata proses pengebumian semula Orang Asli suku Batek itu diuruskan pihak berkaitan seperti Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK).

“Setakat ini kita tidak tahu bila proses pengebumian semula akan dijalankan kerana dalam urusan berkenaan polis hanya membantu.

“Sehingga kini, pusat operasi di FELDA Aring 10 di Gua Musang masih beroperasi dan kawasan perkampungan Kuala Koh juga masih zon merah sehingga Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), memaklumkan kawasan itu selamat.

“Walaupun pusat operasi masih beroperasi, namun kekuatan anggota sudah dikecilkan berbanding sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Aidilfitri anjuran Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) dengan kerjasama agensi kerajaan dan swasta di Dewan Jubli Perak, di sini, hari ini.

Akhbar hari ini melaporkan, Jabatan Kesihatan Kelantan akan memberi suntikan vaksin secara menyeluruh bermula minggu ini kepada penduduk sekitar Kuala Koh terutama Orang Asli suku Batek yang terdedah dengan wabak demam campak.

Pengarahnya, Dr Zaini Hussin, berkata pihaknya ketika ini sedang mengumpul data termasuk mengenal pasti bilangan mereka yang terdedah memandangkan kampung itu bukan hanya didiami Orang Asli, malah ada juga masyarakat tempatan.

Katanya, walaupun tugas itu sukar, pihaknya akan mendapatkan daripada JAKOA dan ketua kampung atau tok batin.

Berita Harian X